KUANTAN - Orang ramai dilarang menjalankan aktiviti
penangkapan ikan temalian atau dikenali sebagai ikan temoleh di sepanjang
Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai bermula bulan ini sehingga
April depan.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman
berkata, larangan tersebut diambil berikutan musim ikan temalian bertelur di
beberapa kawasan di sepanjang sungai negeri ini bagi mengelakkan spesies ikan
tersebut pupus.
"Ikan ini amat berharga sebab itu larangan dibuat. Kita
sebenarnya mahu spesies ikan ini terus ada di Sungai Pahang. Kalau tidak
dikawal ikan temalian tidak dapat membiak dan spesies bakal berkurangan.
"Jadi kita minta semua pihak supaya mematuhi arahan
dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya memasang lebih 40 papan tanda di
sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai memberi
peringatan kepada semua pihak berhubung larangan tersebut.
Justeru, beliau mengharapkan orang ramai supaya tidak
melakukan aktiviti menangkap ikan temalian dalam tempoh itu.
Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap
mana-mana pihak atau individu yang melakukan aktiviti menangkap dan memiliki
ikan temalian.
Menurutnya, tindakan itu dibuat mengikut peraturan
Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang.
"Individu yang dapati tidak mematuhi larangan boleh
dikenakan kompaun RM100 sehingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka
dirampas," katanya.
Ditanya bagaimana ikan temalian bertelur, Azahari berkata,
ikan itu akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan.
Menurutnya, sewaktu ikan temalian melepaskan telur, ia
berada di permukaan air dan keadaan itu memudahkan sesiapa sahaja menangkapnya
dengan hanya menggunakan jaring hanyut.
"Ikan temalian ini sama macam ikan salmon yang akan
naik ke darat sewaktu bertelur.
"Situasi ini menyebabkan induk ikan temalian mudah
untuk ditangkap dan atas sebab itu kita kena kawal aktiviti tangkapan ikan ini
pada tempoh yang ditetapkan pada setiap tahun," katanya.
Sumber
0 comments:
Post a Comment