Pages

Tuesday, February 11, 2020

LARANGAN TANGKAP IKAN TEMALIAN SEHINGGA APRIL





KUANTAN - Orang ramai dilarang menjalankan aktiviti penangkapan ikan temalian atau dikenali sebagai ikan temoleh di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai bermula bulan ini sehingga April depan.


Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, larangan tersebut diambil berikutan musim ikan temalian bertelur di beberapa kawasan di sepanjang sungai negeri ini bagi mengelakkan spesies ikan tersebut pupus.


"Ikan ini amat berharga sebab itu larangan dibuat. Kita sebenarnya mahu spesies ikan ini terus ada di Sungai Pahang. Kalau tidak dikawal ikan temalian tidak dapat membiak dan spesies bakal berkurangan.


"Jadi kita minta semua pihak supaya mematuhi arahan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan ini," katanya.


Beliau berkata, pihaknya memasang lebih 40 papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai memberi peringatan kepada semua pihak berhubung larangan tersebut.


Justeru, beliau mengharapkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan temalian dalam tempoh itu.


Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan aktiviti menangkap dan memiliki ikan temalian.


Menurutnya, tindakan itu dibuat mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang.


"Individu yang dapati tidak mematuhi larangan boleh dikenakan kompaun RM100 sehingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas," katanya.


Ditanya bagaimana ikan temalian bertelur, Azahari berkata, ikan itu akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan.


Menurutnya, sewaktu ikan temalian melepaskan telur, ia berada di permukaan air dan keadaan itu memudahkan sesiapa sahaja menangkapnya dengan hanya menggunakan jaring hanyut.


"Ikan temalian ini sama macam ikan salmon yang akan naik ke darat sewaktu bertelur.



"Situasi ini menyebabkan induk ikan temalian mudah untuk ditangkap dan atas sebab itu kita kena kawal aktiviti tangkapan ikan ini pada tempoh yang ditetapkan pada setiap tahun," katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor