Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 22, 2019

PAHANG GO AKAN MELAKSANAKAN PERKHIDMATAN BIKE-HAILING DAN TAXI-HAILING






KUANTAN, 22.11.2019 : Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Negeri Pahang akan mewujudkan perkhidmatan taxi-hailing dan bike-hailing  bermula tahun hadapan.  

Kedua-dua perkhidmatan ini akan dilaksanakan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, Pahang Go.

"Untuk tujuan itu, Pahang Go akan memohon lesen berkaitan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) dan dijangka perkhidmatan ini dapat dilaksanakan pada tahun 2020.

"Pahang Go akan memperkenalkan perkhidmatan bike-hailing ini di bandar-bandar utama negeri," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, konsep dan pelaksanaan kedua-kedua kemudahan ini lebih kurang sama dengan syarikat e-hailing yang lain.

"Pada 5 November lalu, Menteri Pengangkutan, YB. Tuan Loke Siew Fook telah mengumumkan projek perintis bike-hailing yang dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2020.

"Sewaktu projek perintis ini dijalankan, syarikat bike-hailing yang berdaftar dengan  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh melakukan permohonan dengan APAD untuk menawarkan perkhidmatan itu," katanya.

YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin berkata, bagi menyahut seruan itu, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan kedua-dua perkhidmatan itu bagi membawa banyak manfaat kepada rakyat di negeri ini.

"Selain itu, dengan pelaksanaan perkhidmatan itu juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pahang Go bercadang menyediakan perkhidmatan kelas tambahan percuma kepada pelajar sekolah menengah terutamanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


"Bagi melaksanakan cadangan ini, Pahang Go akan menjalinkan usaha dengan beberapa GLC Negeri dan agensi terbabit untuk menjayakannya," katanya.

SUMBER::PAHANGKUMEDIA https://www.facebook.com/pahangkumedia/videos/444554556246768/

0 comments:

share2