Kuantan - Penemuan 15 tong hitam yang dipercayai mengandungi
sodium sianida yang ditemui di ladang kelapa sawit di Karak Jumaat lalu,
berkemungkinan untuk dijual kepada pihak tertentu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata,
pihaknya tidak menolak kemungkinan itu disebabkan bahan kimia tersebut banyak
digunakan dalam industri perlombongan emas dan dipercayai menjadi tempat
pengumpulan, sementara menanti pembeli mengambilnya.
Menurutnya, terdapat kemungkinan juga bahan kimia itu
sengaja ditinggalkan bertujuan dilupuskan kerana difahamkan, kos melupuskan
sodium sianida terlalu tinggi.
"Kita telah terima laporan dan siasatan menyeluruh
pelbagai kemungkinan sedang dijalankan. Ada kemungkinan ia untuk dijual kepada
pihak tertentu dan mereka tinggalkan tong bahan kimia itu sementara menanti
pembeli.
"Untuk melupuskannya (sodium sianida) juga memakan kos
yang tinggi dan ia perlu dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
"Kemungkinan pihak ini tidak mahu menanggung kos yang
besar dan sengaja meletakkan semua tong itu di kawasan ladang itu,"
katanya ketika dihubungi dihari ini.
Terdahulu, lapan anggota polis terpaksa mendapatkan rawatan
selepas disyaki terhidu gas sodium sianida ketika membuat pemeriksaan ke atas
15 tong itu sebaik menerima maklumat awam.
Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit Bahan
Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang turut
dikerahkan membuat pemeriksaan dan sampel kimia tersebut telah dihantar kepada
Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor bagi mengenal pasti bahan kimia
berkenaan.
Sementara itu, Abdul Jalil berkata, empat anggota polis
dibenarkan keluar setelah menerima rawatan di Hospital Bentong.
Beliau berkata, selepas menerima keterangan lapan anggota
bertugas, kesemua mereka dipercayai terhidu bahan kimia berkenaan sehingga
mengalami pening kepala dan loya tidak lama selepas berada di lokasi berkenaan.
Sumber:
0 comments:
Post a Comment