Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 2, 2019

NAMA SAYA TIDAK SEHEBAT ALMARHUM AYAHANDA - AGONG





TEMERLOH, 2.6.2019 -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebak ketika mengimbau kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Sultan Abdullah juga perlu menghentikan beberapa kali titah ucapan baginda kerana kehilangan kata-kata, selain untuk mengesat air mata pada titah yang berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah sepanjang 45 tahun memerintah Pahang.

Baginda bertitah Almarhum ayahanda baginda begitu hebat dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan sukan yang menjadi faktor mengapa baginda 'menolak' nama baginda dimasyhurkan pada masjid baharu di sini, yang dirasmikan baginda hari ini.

"Kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya kerana mahu memberi penghormatan kepada saya sebagai sultan baharu, namun saya berpandangan nama saya adalah tidak sehebat atau segah nama Almarhum paduka ayahanda saya.

"Saya memasyhurkan masjid ini dengan nama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan diharapkan rumah Allah ini akan menjadi kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan dan jasa Almarhum," titah baginda semasa berucap merasmikan masjid itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang juga Anggota Parlimen Temerloh, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Sultan Abdullah bertitah pembinaan masjid yang menelan belanja sebanyak RM18.7 juta yang boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa itu juga adalah atas titah Almarhum sekitar akhir tahun 2013, selepas Temerloh diisytiharkan sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia.

"Sejak kerja dimulakan pada 19 Ogos 2014, Almarhum memberi sepenuh perhatian dan secara langsung memantau serta mengawal kerja pembinaannya seperti kelaziman semua masjid di Pahang yang mendapat sentuhan peribadi baginda dalam hiasan dalaman dan reka bentuk.

"Namun manusia hanya mampu merancang. Almarhum tidak sempat merasmikan masjid ini kerana terlebih dahulu meninggalkan kita. Tahun lalu, saya telah berbincang mengenai hasrat saya supaya masjid ini dirasmikan oleh Almarhum secara persidangan video dari istana di Kuala Lumpur," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Abdullah menyifatkan keberangkatan tiba baginda di masjid itu begitu istimewa dan membawa pengertian yang sangat besar kepada baginda dan keluarga serta berharap sebuah galeri berkaitan usaha dan jasa Almarhum dapat diwujudkan di situ.

Pada titah baginda, Sultan Abdullah berkongsi cerita bahawa Almarhum adalah raja yang berjiwa rakyat kerana sentiasa mencari rakyat yang sakit dan antara yang paling pantas melawat, malah ada masanya lebih awal berbanding pegawai kerajaan atau wakil rakyat jika mengetahui ada rakyat ditimpa musibah.

"Almarhum meletakkan penanda aras untuk kita semua supaya proaktif dalam perkara berkaitan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Baginda sentiasa sampai lebih awal daripada masa yang ditetapkan, malah kadang kala lebih awal dari keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang (gelaran Sultan Abdullah sebelum ini).

"Ini menyebabkan saya berada dalam kedudukan yang cukup bersalah sehingga saya terpaksa menyembah mengatakan kepada Almarhum bahawa baginda selalu tiba lebih awal menyebabkan kita yang dipersalahkan kerana lewat," titah baginda.

Sultan Abdullah bertitah jasa Almarhum yang mangkat pada 22 Mei lalu di Institut Jantung Negara pada usia 88 tahun bukan hanya sekadar sebagai Sultan Pahang kelima, namun turut menabur bakti sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Titah baginda, sebagai seorang ketua agama, Almarhum menitahkan supaya lebih banyak masjid dibina yang mana setakat ini terdapat 15 masjid di Pahang yang dinamakan sempena nama baginda, menghadiri pelbagai program keagamaan dan menaik taraf kedudukan mufti.

Suasana juga menjadi sepi apabila Sultan Abdullah selaku anakanda lelaki sulung Almarhum mewakili seluruh kaum kerabat baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga istana, doktor pakar, jururawat, kakitangan hospital, polis, tentera dan semua pihak yang berkhidmat sepanjang hayat Almarhum.

"Jika ada terdapat kesilapan dalam pertuturan yang mungkin terasa di hati, saya berharap dapat dimaafkan dan doakan supaya Almarhum diberikan segala rahmat Allah dan ditempatkan bersama golongan solihin," titah baginda.

SUMBER: 

0 comments:

share2