TEMERLOH, 2.6.2019 -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebak ketika mengimbau
kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
Sultan Abdullah juga perlu menghentikan beberapa kali titah
ucapan baginda kerana kehilangan kata-kata, selain untuk mengesat air mata pada
titah yang berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah
sepanjang 45 tahun memerintah Pahang.
Baginda bertitah Almarhum ayahanda baginda begitu hebat
dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan
sukan yang menjadi faktor mengapa baginda 'menolak' nama baginda dimasyhurkan
pada masjid baharu di sini, yang dirasmikan baginda hari ini.
"Kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini
dengan nama saya kerana mahu memberi penghormatan kepada saya sebagai sultan
baharu, namun saya berpandangan nama saya adalah tidak sehebat atau segah nama
Almarhum paduka ayahanda saya.
"Saya memasyhurkan masjid ini dengan nama Masjid Sultan
Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan diharapkan rumah Allah ini akan menjadi
kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan dan jasa Almarhum," titah
baginda semasa berucap merasmikan masjid itu di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman
Almarhum Sultan Ahmad Shah, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang
juga Anggota Parlimen Temerloh, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti
Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan barisan anggota Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Pahang.
Sultan Abdullah bertitah pembinaan masjid yang menelan
belanja sebanyak RM18.7 juta yang boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu
masa itu juga adalah atas titah Almarhum sekitar akhir tahun 2013, selepas
Temerloh diisytiharkan sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia.
"Sejak kerja dimulakan pada 19 Ogos 2014, Almarhum
memberi sepenuh perhatian dan secara langsung memantau serta mengawal kerja
pembinaannya seperti kelaziman semua masjid di Pahang yang mendapat sentuhan
peribadi baginda dalam hiasan dalaman dan reka bentuk.
"Namun manusia hanya mampu merancang. Almarhum tidak
sempat merasmikan masjid ini kerana terlebih dahulu meninggalkan kita. Tahun
lalu, saya telah berbincang mengenai hasrat saya supaya masjid ini dirasmikan
oleh Almarhum secara persidangan video dari istana di Kuala Lumpur," titah
baginda.
Sehubungan itu, Sultan Abdullah menyifatkan keberangkatan
tiba baginda di masjid itu begitu istimewa dan membawa pengertian yang sangat
besar kepada baginda dan keluarga serta berharap sebuah galeri berkaitan usaha
dan jasa Almarhum dapat diwujudkan di situ.
Pada titah baginda, Sultan Abdullah berkongsi cerita bahawa
Almarhum adalah raja yang berjiwa rakyat kerana sentiasa mencari rakyat yang
sakit dan antara yang paling pantas melawat, malah ada masanya lebih awal
berbanding pegawai kerajaan atau wakil rakyat jika mengetahui ada rakyat
ditimpa musibah.
"Almarhum meletakkan penanda aras untuk kita semua
supaya proaktif dalam perkara berkaitan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Baginda sentiasa sampai lebih awal daripada masa yang ditetapkan, malah kadang
kala lebih awal dari keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang (gelaran Sultan
Abdullah sebelum ini).
"Ini menyebabkan saya berada dalam kedudukan yang cukup
bersalah sehingga saya terpaksa menyembah mengatakan kepada Almarhum bahawa
baginda selalu tiba lebih awal menyebabkan kita yang dipersalahkan kerana
lewat," titah baginda.
Sultan Abdullah bertitah jasa Almarhum yang mangkat pada 22
Mei lalu di Institut Jantung Negara pada usia 88 tahun bukan hanya sekadar
sebagai Sultan Pahang kelima, namun turut menabur bakti sebagai Yang di-Pertuan
Agong ketujuh.
Titah baginda, sebagai seorang ketua agama, Almarhum
menitahkan supaya lebih banyak masjid dibina yang mana setakat ini terdapat 15
masjid di Pahang yang dinamakan sempena nama baginda, menghadiri pelbagai
program keagamaan dan menaik taraf kedudukan mufti.
Suasana juga menjadi sepi apabila Sultan Abdullah selaku
anakanda lelaki sulung Almarhum mewakili seluruh kaum kerabat baginda
menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga istana, doktor pakar, jururawat,
kakitangan hospital, polis, tentera dan semua pihak yang berkhidmat sepanjang
hayat Almarhum.
"Jika ada terdapat kesilapan dalam pertuturan yang
mungkin terasa di hati, saya berharap dapat dimaafkan dan doakan supaya
Almarhum diberikan segala rahmat Allah dan ditempatkan bersama golongan
solihin," titah baginda.
SUMBER:
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor