Ekeron penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah di kawasan tadahan air Terla, Cameron Highlands pada 25 Februari lalu, Kerajaan Negeri akan meneruskan operasi dijangka bermula 1 April 2019.
Walaubagaimanapun, notis pengosongan tanah selama 30 hari telah dikeluarkan bagi memberi masa kepada pekebun-pekebun haram ini mengosongkan tanah tersebut.
Sebagai respon kepada permintaan Persatuan Pekebun-pekebun Kuala Terla Cameron Highlands agar Kerajaan Negeri tidak meneruskan fasa kedua kerja-kerja penguatkuasaan berkenaan, Menteri Besar Pahang berkata,
“Kerajaan Negeri perlu bertegas dalam hal ini, maka permintaan para pekebun kecil berkenaan tidak dapat dilayani, demi memelihara alam sekitar daripada tercemar seterusnya bagi menjamin bekalan air terawat yang berterusan untuk keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands,” katanya lagi.
Sebelum ini, pada fasa pertama penguatkuasaan yang bermula 25 Februari sehingga pertengahan bulan Mac, sebanyak 11 kebun telah diambil tindakan dan keluasan keseluruhan 61 kebun ini ialah kira-kira 55 hektar.
ANTARA SYARAT TOL YANG TIDAK DIPATUHI
Antara syarat yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri ialah pekebun tidak dibenarkan mendirikan struktur-struktur kekal serta keperluan mengkhaskan kawasan melupuskan sampah-sarap di atas tapak-tapak berkenaan, serta kewajipan menggunakan racun-racun serangga perosak yang dibenarkan.
Sungguhpun ada yang akur namun, ada di kalangan pekebun yang engkar, yang akhirnya menyebabkan Sungai Ichat – dengan zon penampan di kedua-dua belah tebingnya turut dicerobohi dan telah tercemar teruk.
Sedangkan, ketika Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla hendak dibina, sumber air mentah yang hendak diperolehi ialah dari Sungai Ichat dan dari satu lagi sungai yang turut berada dalam kawasan tadahan air Terla ini iaitu Sungai Terla.
Oleh kerana Sungai Ichat yang teruk tercemar maka sumber air bagi LRA Kuala Terla yang siap dibina dan mula beroperasi pada tahun 2007, hanya diperolehi dari Sungai terla.
Bagaimanapun kini, menurut pegawai Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) pula, sumber air mentah dari Sungai Terla sudahpun didapati semakin berkurangan untuk dirawati.
AIR MENTAH SUNGAI TERLA JUGA SEMAKIN BERKURANGAN
Keperluan air mentah dari Sungai Ichat sangat diperlukan untuk diproses oleh LRA Kuala Terla bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi bagi menampung 70 peratus keperluan air penduduk Cameron Highlands.
LRA Kuala Terla hanyalah berkapasiti antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam tetapi ekoran air mentah dari Sungai Terla semakin berkurangan, ia hanya dapat memproses dan menjana antara 480 meter padu sejam dan 550 meter sejam sahaja.
Sebelum air mentah dari Sungai Ichat dapat dan selamat digunakan, pemulihan Sungai Ichat tentu perlu dilaksanakan dan ini akan mengambil masa sebelum air sungai tersebut boleh digunakan.
Oleh itu, langkah pertama ke arah itu ialah dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan TOL – yang sah-lakunya setahun; sejak tahun 2017 dan susulan itulah, kerja-kerja merobohkan perlu dilaksanakan.
Berita Asal: Ahya Alimuddin
0 comments:
Post a Comment