Keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah pula dengan kenaikan harga barang harian menambahkan derita rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak, berkata isu tekanan kos sara hidup menjadi rungutan utama berdasarkan tinjauan mengejut yang dibuat.
Katanya, tinjauan itu bertujuan untuk mengetahui sama ada penduduk setempat menghadapi tekanan kos sara hidup selain bertanya khabar.
“Hampir semua penduduk yang saya temui mengadu akan kenaikan harga barang antaranya telur, ikan, sotong dan ayam.
“Nampaknya, rakyat rasa tertekan malah peniaga memaklumkan perniagaan mereka juga tidak selaris dulu.
“Mungkin ini disebabkan bantuan kepada rakyat dikurangkan disebabkan situasi ekonomi dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pasar Datuk Keramat, hari ini.
Beliau meluangkan masa selama sejam bertanya khabar dan beramah-mesra bersama penduduk setempat.
Kebanyakan penduduk turut menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran harga barangan yang tetap meningkat walaupun harga petrol menurun.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan harga runcit petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.20 kepada RM1.93 seliter, manakala RON97 diturunkan daripada RM2.50 kepada RM2.23 seliter sehingga 11 Januari ini.
Bagi diesel, harga runcit bahan api itu diturunkan daripada RM2.18 kepada RM2.04 seliter.
0 comments:
Post a Comment