Tiada siapa ambil tahu denyut nadi masalah kehidupan kami. Itu rintihan majoriti anak peneroka khususnya generasi kedua Felda pada masa ini.
Kemelut kesukaran hidup kalangan generasi kedua Felda sudah diketahui umum, namun seolah-olah tiada jalan keluar apabila mereka semakin terdesak dengan masalah kebajikan khususnya kewangan, pekerjaan dan perumahan.
Kebanyakan mereka masih tidak mempunyai pekerjaan dan peluang ekonomi untuk memperoleh pendapatan sara hidup yang mana cuma sebilangan kecil bernasib baik berpeluang bekerja di sektor kerajaan atau swasta.
Seorang generasi kedua Felda Kota Gelanggi 2 di sini, Rofidah Khamis, 41, berkata, kebimbangan kian ketara apabila ramai yang masih tidak mempunyai pekerjaan dan tanpa pendapatan tetap atau bergantung kepada hasil sawit ibu bapa.
NOR AZAM
“Bagi yang sudah berkeluarga tidak mampu lagi berhijrah kerana mempunyai tanggungan, komitmen persekolahan anak-anak dan menjaga ibu bapa yang berusia,” katanya di sini hari ini.
Anak peneroka Felda Kota Gelanggi 4, Nor Azam Mohamed, 28, berkata, kebanyakan generasi kedua mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak bernasib baik dalam pasaran kerja.
“Persepsi kononnya generasi kedua tidak mahu berusaha itu tidak benar. Kami bukan sengaja untuk memilih kehidupan begini,” katanya.
Generasi kedua Felda Tekam Utara, Zaidi Suboh, 46, pula berkata, hanya segelintir generasi kedua bekerja di ladang kerana sektor berkenaan sudah didominasi oleh buruh asing.
0 comments:
Post a Comment