Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 30, 2018

APA LAGI ASET NEGARA YANG PH MAHU JUAL...






Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak melontarkan persoalan kepada kerajaan Pakatan (PH) apakah lagi aset negara yang mahu mereka jualkan.

Persoalan yang ditimbulkannya itu merujuk kepada tindakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional), sebuah syarikat induk pelaburan milik kerajaan yang telah menjual kepentingan 16 peratus di dalam IHH Berhad, pengendali industri hospital kepada kumpulan Jepun Mitsui dengan harga RM8.42 bilion, yang membawa maksud Mitsui menjadi pemegang saham terbesar.

“Selama ini, IHH Berhad dikenali sebagai kumpulan hospital Malaysia kerana Khazanah Nasional merupakan pemegang saham terbesar dan Khazanah yang mengawal halatuju IHH Berhad.

“Pengerusi IHH Berhad juga anak Malaysia, bermula dengan Tan Sri Datuk Dr Abu Bakar Suleiman sehingga beliau bersara pada akhir tahun lepas dan digantikan dengan Datuk Mohammed Azlan Hashim.

“Kumpulan hospital kedua terbesar di dunia ini tidak lagi boleh dipanggil sebagai kumpulan milik Malaysia atau menjadi kebanggaan negara tetapi telah menjadi kumpulan milik negara Jepun. Tidak mustahil Pengerusi kumpulan ini yang merupakan orang Malaysia selama ini akan digantikan dengan orang Jepun tidak lama lagi,” jelas Najib di dalam catatan di Facebooknya.

Najib turut mengimbau kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini yang pernah mengumumkan bahawa antara langkah untuk menggantikan kehilangan hasil dari pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dividen dari Petronas, Khazanah Nasional dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan dinaikkan.

“Mungkin penjualan aset negara hari ini merupakan antara langkah untuk Khazanah menaikkan dividen kepada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Tambah Najib, ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu memiliki kumpulan hospital kedua terbesar di dunia.

“Ketika saya dilantik Perdana Menteri pada tahun 2009, Khazanah memiliki kumpulan hospital Pantai. Pada masa itu, kumpulan ini hanya bernilai RM5.2 bilion.

“Seterusnya, kumpulan ini terus berkembang termasuk pembelian kumpulan hospital Singapura bernama Parkway, di mana Khazanah menstruktur semula pegangan aset hospital mereka menjadi IHH Berhad pada tahun 2010.

“Selepas kumpulan ini disenaraikan (IPO) di Bursa Malaysia pada tahun 2012, nilai IHH Berhad meningkat menjadi RM25.6 bilion. IPO untuk IHH Berhad merupakan IPO ketiga terbesar di dunia untuk tahun itu,” ujarnya.

Ulas Najib lagi, usaha kerajaan BN pada ketika itu menjadikan IHH Berhad terus berkembang selepas disenaraikan dengan pembelian kumpulan hospital di negara asing.

“Hari ini, IHH Berhad dianggarkan bernilai RM50 bilion dan memiliki kumpulan hospital terbesar di Malaysia dengan 14 buah hospital, empat hospital di Singapura, 21 hospital di Turki dan sembilan hospital di India.

“Ini antara faktor, aset Khazanah telah naik dari RM33.7 bilion pada akhir 2008 kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017,” katanya lagi.

Najib turut kecewa kerana tindakan kerajaan PH itu akan menyebabkan negara kehilangan peluang untuk membina dan memiliki sebuah syarikat multinasional (MNC) bertaraf global.


0 comments:

share2