Kerajaan negeri berharap proses penstrukturan semula bekalan air di negeri ini akan disegerakan oleh kerajaan pusat.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada masa ini proses penstrukturan semula itu sedang diperhalusi oleh kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan pusat.
Menurutnya, pada dasarnya kerajaan negeri sudah bersetuju bersama kerajaan Pusat namun buat masa ini masih di peringkat pegawai.
"Kebaikannya ialah melalui penstrukturan semula ini kita dapat melupuskan hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM2.2 bilion selain meningkatkan lagi infrastruktur bekalan air di negeri ini,"katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam dan Masyarakat Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut.
Hadir sama Ahli Parlimen Jerantut, Dato' Ahmad Nazlan Idris dan Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda,Koperasi,Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Nazri Ngah yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut.
Dalam majlis itu juga seramai 82 penduduk menerima suratan hak milik tanah.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut melawat Maahad Tahfiz Wa Ta'limil Al-Quran, Kampung Sungai Badak dan bersantai bersama warga maahad terbabit.
0 comments:
Post a Comment