Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 11, 2018

JANGAN BIARKAN AGENSI BERNAMA ROSAK DI ATAS KETAKSUBAN AGENDA POLITIK






UMNO mempertikaikan pelantikan bekas editor The Rocket milik Dap, Wan Hamidi Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dianggap tidak bersesuaian dengan pertubuhan itu sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, biarpun ia agensi berita milik kerajaan, pelantikan seseorang yang aktif dalam politik kepartian bakal menguburkan Bernama apabila ia hilang identiti bebasnya kerana hanya memihak kepada sesuatu parti dan kerajaan.

“Bernama yang selama ini berpegang kepada ‘Pastikan Benar’ bagi melaporkan apa saja berita, termasuk mengenai pembangkang, akan menyamai agensi berita Iraq di zaman Saddam Hussein dan agensi berita Filipina di bawah Ferdinand Marcos.

“Pelantikan ini sama sekali bertentangan dengan kenyataan Menteri Penerangan, Gobind Singh Neo baru-baru ini bahawa agensi berita tidak lagi perlu diketuai oleh seseorang yang berkepentingan politik dengan akhbar dan agensi berita harus bebas dan non-partisan dalam liputan dan tidak memihak mana-mana parti politik.

“Malangnya, Gobind sendiri tidak dapat mengotakan kata-kata dalam mempertahankan media itu bebas dalam sebarang campur tangan politik terutama dalam kes pelantikan Wan Hamidi di Bernama,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, tidak salah rasanya untuk menyamakan kes ini dengan pelantikan peguam Art Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, biarpun Suhakam menyifatkannya sebagai bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Jadi, bagaimana seseorang yang bergerak cergas di dalam politik sesebuah parti boleh menjadi bebas dengan pelantikan sebegini?

“Kegusaran dan bantahan Majlis Perundingan Melayu (MPM) perlu diambil kira oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya.”

Katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, biarpun teguran seperti ini akan hanya ibarat ‘anjing menyalak bukit’ (berikutan sikap acuh tak acuh kerajaan terhadap bantahan Suhakam), perlu diingat bahawa Bernama bukannya agensi swasta.

“Bernama memiliki kredibiliti berbeza dengan agensi berkaitan kerajaan lain kerana undang-undang tubuhnya yang sama sekali berlainan.

“Adalah dikhuatiri kredibilitinya yang selama ini terpelihara, akan merudum jika kerajaan mengenakan cengkaman ke atasnya.

“Jadi, di mana pertimbangan kerajaan dalam perlantikan ini? Apakah dengan menguasai semua cabang komunikasi akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan pada masa depan?”

Tegasnya, jangan biarkan Bernama rosak di atas ketaksuban agenda politik.

“Saya harap Kerajaan PH bersikap adil dan benar benar membebaskan media dari sebarang pengaruh sebagaimana dalam janji mereka. Bagaimanapun sangat malang nampaknya kebebasan media ketika ini tidak berlaku sebagaimana dahulu,” ujarnya lagi.


0 comments:

share2