Rakyat kini berada di situasi di mana Kerajaan menaikkan cukai tetapi mengurangkan bantuan rakyat, membuang pekerja di sektor awam dan menghilangkan kerja di sektor swasta, serta mencari alasan dan menyalahkan orang lain untuk segala permasalahan daripada mencari penyelesaian, kata Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.
Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semalam yang menyatakan bahawa Kerajaan akan memperkenalkan cukai baru.
“Ini adalah resipi malapetaka kepada ekonomi negara. Saya telah menjangka perkara ini beberapa bulan yang lalu. Saya berpendapat ini adalah satu lagi dasar yang memudaratkan rakyat oleh Kerajaan baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, apabila ekonomi tidak baik kerajaan sepatutnya menurunkan cukai untuk menggalakkan ekonomi dan bukannya menaikkan cukai atau memperkenalkan cukai baru.
“Alasan hutang negara RM1 trillion telah terbukti tidak benar dan tidak munasabah oleh pakar-pakar ekonomi dari dalam dan luar negeri. Hutang negara kita yang sebenar adalah jauh lebih rendah iaitu pada paras kurang RM700 billion atau 50 peratus dari pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan pengiraan piawaian antarabangsa.
“Apabila cukai dinaikkan dan cukai-cukai baru diperkenalkan, ianya akan membebankan peniaga mahupun pengguna. Cukai-cukai ini akan meningkatkan kos untuk menjalankan perniagaan dan ianya juga mengurangkan pembelian barangan oleh pengguna yang terkesan apabila harga barangan meningkat akibat cukai. Apabila pengguna tidak beli barang, peniaga juga tidak dapat untung.
“Ekonomi Malaysia kini menuju ke bawah akibat dasar-dasar Kerajaan baru ini. Petunjuk-petunjuk ekonomi membuktikan senario ini.”
Ujarnya, jumlah dagangan antarabangsa menurun dan ekonomi domestik juga tergugat. Sektor pembuatan yang berkembang pada paras 5% pada tahun lalu jatuh ke paras 3% kini. Sektor pembinaan pula jatuh daripada paras perkembangan 7% tahun lalu ke paras 4% kini. Unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini juga telah turun daripada 6% kepada 4-5%. Setiap 1% penurunan pertumbuhan ekonomi akan mengakibatkan anggaran 100,000 orang kehilangan peluang pekerjaan.
“Hal ini diterukkan lagi dengan kehilangan kerja sedia ada oleh berpuluh-puluh ribu pekerja di sektor swasta akibat pembatalan atau kaji semula projek-projek infrastruktur seperti ECRL, HSR dan MRT oleh Kerajaan.
“Kerajaaan juga dijangka akan mengurangkan perbelanjaan kepada rakyat dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada bulan depan. Pada tahun lalu, Kerajaan memperuntukkan RM280 billion untuk rakyat dalam Bajet 2018. Pada tahun ini, adalah dijangka peruntukkan ini akan dipotong sebanyak sekurang-kurangnya RM10 billion.
“Jumlah ini adalah lebih kurang bersamaan dengan anggaran jumlah ketirisan SST, dan ianya juga adalah lebih kurang bersamaan dengan jumlah perbelanjaan bantuan untuk rakyat melalui BR1M oleh kerajaan dahulu.
“Bantuan-bantuan dan peruntukan-peruntukan lain juga akan dipotong termasuk kenaikan gaji dan elaun penjawat awam. Apabila ditanya kepada kerajaan kini, jawapan mereka ialah ini semua salah kerajaan dahulu,” bidasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment