Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 18, 2018

[LIPIS] KENANGAN TAK LUPUT



Kenangan tak luput



Hilang sebelah kaki antara harga yang terpaksa dibayar demi mempertahankan kedau­latan negara.

Itu antara pahit getir tiga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit membanteras komunis di negara ini, 40 tahun lalu.

Bagi Ramli Saleh,66, dari Mengkarak dia kehilangan kaki kanannya selepas terpijak jerangkap samar ketika menyertai satu operasi di sempadan Kelantan-Thailand pada 1977.

Menurutnya,dia yang dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) memberitahu operasi tersebut disertai 12 anggota. 

“Ketika itu saya sedang meronda dengan membawa senjata berat.Tiba-tiba saya melambung ke tanah akibat terpijak perangkap itu.

“Sedar tengok kasut but tiada tapak sudah hilang,berlumuran darah.Saya terpaksa menunggu 20 minit untuk diterbangkan menaiki helikopter dan di bawa ke Hospital Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan “katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang mula bergelar anggota tentera 1971 dan bersara pada 1992 dengan pangkat Koperal itu akur dengan nasib yang menimpanya.

“Saya sedar ini antara risiko yang perlu dihadapi sebagai anggota tentera dan reda dengan apa yang telah berlaku.

“Dan saya harap generasi kini hargai keamanan dan kemakmuran yang dinikmati dan ia juga berkat pengor­banan yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk tentera,” ujarnya.

Sementara itu,Mahaudin Abdul Rahman,58, insiden itu masih kekal dalam memo­rinya yang dialami ketika operasi di Kelian Intan, Gerik, Perak.

“Saya masih ingat 4 No­vem­ber 1982, sedang dalam rondaan saya terpijak je­rang­kap samar hingga kehilangan kaki kiri akibat kejadian itu,” katanya lagi.

Menamatkan perkhid­matan pada tahun 2000, dia yang kini menetap di Kuala Bera, bapa kepada tujuh orang anak itu terpaksa tinggal di Hospital Pulau Pinang selama lima bulan bagi menjalani rawatan.

“Saya tak rasa kesal kerana memilih kerjaya ini dan sedar dengan risiko yang perlu dihadapi.

“Bangga kerana dapat berbakti kepada negara biarpun kini sudah cacat, bergelar Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Manakala Hamidun Kamis,68, dari Kampung Bapong, Lipis kudung kaki kirinya selepas terlibat dalam operasi di Jeli, Kelantan pada 1976.

“Saya anggap ini ujian dan menjadi kenangan yang tak akan dilupakan sampai bila-bila,” jelasnya.

Ketiga-tiganya ditemui selepas sesi penceritaan pengalaman masing-masing bersama hadirin dalam sambutan Hari Malaysia 2018 Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, kelmarin.

Perkongsian mereka nyata mencuit perhatian sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin sebaik selesai sesi tersebut.


0 comments:

share2