Penstrukturan semula Industri semula air Pahang kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan pada penghujung bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman berkata, menerusi penstrukturan itu, semua aset bekalan air daripada pinjaman bekalan air dan hutang kerajaan negeri akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Apabila direalisasikan kelak, kerajaan negeri bakal menerima perolehan pendapatan menerusi bayaran royalti air mentah daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
"Malah penstrukturan semula itu akan membolehkan pelarasan semula tarif air dilaksanakan yang sekali gus membolehkan kedudukan kewangan PAIP dapat diperbaiki,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya ia juga sebagai langkah kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah hutang pinjaman bekalan air kepada kerajaan persekutuan yang mencecah RM2.1 billion.
Katanya penghapusan hutang terhadap bekalan air ini hanya boleh dipakai sekiranya kerajaan negeri bersetuju untuk melakukan migrasi selewat-lewatnya pada 31 Dis kerana kerajaan persekutuan hanya memberi dana untuk sumber air kepada negeri yang telah migrasi sahaja.
Norol berkata sekiranya penstrukturan ini tidak dilakukan, kedudukan kewangan PAIP akan terganggu dan hal ini akan melumpuhkan operasi dan pembangunan infrastruktur syarikat.
Kali terakhir tarif air disemak adalah 35 tahun lalu dan ini menyebabkan hasil yang diperoleh oleh PAIP tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan operasi sedangkan kos operasi dilaporkan mencecah sehingga RM26 juta sebulan.
Malah PAIP mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM547 juta sehingga 31 Mac yang lalu.
Selain itu, Norol berkata penstrukturan semula itu juga membolehkan pembiayaan projek-projek pembelanjaan modal dapat dilakukan oleh PAAB.
Pada masa yang sama, Norol berkata kerajaan negeri juga akan berusaha untuk mendapatkan subsidi daripada kerajaan persekutuan untuk projek-projek bekalan air bersih kepada penduduk luar bandar di negeri ini.
0 comments:
Post a Comment