Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 26, 2018

KERAJAAN PH AKUI SUKAR TUNAI JANJI ROYALTI MINYAK



Kerajaan PH Akui Sukar Tunai Janji Royalti Minyak



SEPERTI yang sudah dijangka, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menunaikan royalti 20 peratus yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Mahathir hampir mengulangi tindakannya semasa menjadi perdana menteri keempat menafikan royalti kepada kerajaan negeri Terengganu.

Dalam Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri hal ehwal ekonomi mengatakan royalti 20 peratus itu bertentangan dengan Akta Pengeluaran Petroleum 1974.

Azmin mengatakan pemberian royalti 20 peratus ini tidak boleh dilaksanakan segera kerana perlu meminda akta terlebih dahulu, bermakna ia mungkin tidak akan dilaksanakan kerana meminda akta itu bukan mudah dan dijangka kerajaan tidak akan mempunyai iltizam untuk melaksanakannya.

Kalau kerajaan mahu melaksanakannya, sudah tentu Azmin akan berkata kerajaan akan segera memulakan proses pindaan akta tersebut.

Azmin juga berkata semasa menyediakan rancangan-rancangan manifesto PH sebelum pilihan raya lalu, mereka tidak mempunyai data yang mencukupi.

Ketiadaan maklumat yang cukup itu dijadikan alasan janji royalti 20 peratus tidak dilaksanakan oleh kerajaan, yang kini berdepan masalah sumber kewangan kerana sudah menghapuskan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Azmin mengesahkan kenyataan yang disampaikan oleh Mahathir minggu ini, yang telah menilai semula janji royalti 20 peratus itu apabila mula bercakap tentang perkongsian keuntungan.

Beliau mengakui pembayaran royalti sebanyak 20 peratus akan membebankan kerajaan persekutuan dan syarikat minyak negara Petronas.

Kerajaan negeri-negeri pengeluar petroleum sudah menunjukkan rasa tidak puas hati dengan pendirian Mahathir ini, sedangkan mereka sedang menunggu janji royalti itu ditunaikan.

Pemimpin dari kerajaan negeri Terengganu telah pergi bertemu Mahathir sejurus selepas kerajaan persekutuan ditubuhkan oleh PH dan memandang positif hasil perbincangan dalam pertemuan itu.

Tetapi kenyataan mencadangkan perkongsian keuntungan oleh Mahathir dipersoalkan oleh pemimpin kerajaan Terengganu.

Dua kerajaan negeri yang mesra PH, Sarawak dan Sabah sudah bersuara menolak rancangan perkongsian untung bersih yang disebut Mahathir baru-baru ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shapie Apdal sendiri mengatakan Sabah akan terus menuntut janji royalti 20 peratus.

Sarawak juga yang menuntut lebih kebebasan dalam pentadbiran negeri sudah menunjukkan ketegasan dalam berurusan dengan kerajaan persekutuan terutama dalam hal sumber petroleum.

Sebelum pilihan raya Mei lalu, kerajaan Sarawak berkata royalti 20 peratus sudah tidak relevan kerana Sarawak sudah berkuasa penuh ke atas sumber petroleumnya dan telah menubuhkan syarikat minyak negeri, Petros.

Sarawak kini turut berbeza pandangan dalam hal sumber petroleum negeri dengan kerajaan persekutuan.

Pembahagian royalti minyak ini merupakan isu yang rumit dan boleh menyukarkan hubungan antara kerajaan negeri dengan persekutuan sekiranya tidak diuruskan dengan baik.


0 comments:

share2