Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 18, 2018

[MARAN] KANAK-KANAK 1 TAHUN 7 BULAN MAUT DIKELAR IBU






Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dikelar ibu kandungnya yang dipercayai mengalami halusinasi di Felda Jengka, di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa berusia setahun tujuh bulan disahkan meninggal dunia apabila tiba di Hospital Jengka di sini akibat parah dikelar pada leher menggunakan senjata tajam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek berusia 31 tahun bertindak mengelar leher anak bongsu dari tiga beradik itu di bilik tidur rumah itu sebelum disedari suaminya.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai masalah atau rekod mengalami gangguan mental. Kami dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.45 malam oleh kakitangan Hospital Jengka yang menghubungi Balai Polis Bandar Pusat Jengka.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota kami serta dibantu Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu rumah keluarga terbabit bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan awal," katanya di sini malam ini.

Othman berkata, suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya lagi, pihaknya sudah merekodkan keterangan bapa mangsa.

"Bapa mangsa sempat menolak suspek sebelum mengambil mangsa untuk dibawa ke Hospital Jengka bagi tujuan pemeriksaan. Namun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital terbabit," ujarnya.


0 comments:

share2