Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 5, 2018

APAKAH TIADA BONUS UNTUK PENEROKA FELDA TAHUN INI?







Sudah jadi tradisi setiap tahun untuk peneroka Felda menerima insentif bayaran khas sempena Hari Raya Aidilfitri daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, kerajaan baharu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) langsung tidak pula mengumumkan sebarang insentif atau bonus bagi peneroka Felda untuk perayaan tersebut seolah-olah mereka ini dilupakan.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pemberian bantuan khas raya berjumlah RM400 buat penjawat awam Gred 41 dan ke bawah yang menegcewakan orang ramai.

Mana tidaknya, jumlah yang diberikan kurang RM100 daripada jumlah yang telah diumumkan kerajaan terdahulu waima amaun tersebut sebenarnya telah diluluskan di Parlimen.

Susulan pemberian Bantuan Khas Raya yang tidak menyeluruh kepada kakitangan awam itu, warga peneroka Felda juga menanti penuh debar sama ada mereka masih berpeluang menerima bayaran saguhati Hari Raya tahun ini.




Malangnya tinggal 10 hari lagi menjelang Aidilfitri, masih tiada khabar berita dari kerajaan PH tentang bonus raya yang pasti membuatkan peneroka Felda ini rasa bagai ‘dianaktirikan’.

Tahun lalu, kerajaan BN telah memberikan insentif sebanyak RM500 kepada setiap keluarga peneroka Felda bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Malah, peneroka Felda juga menerima dividen Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) sebanyak RM280 yang memberikan jumlah penerimaan sebanyak RM780 bagi peneroka Felda pada tahun lalu.

Kerajaan BN turut memberikan sagu hati sebanyak RM400 kepada pengerusi masjid, RM500 (imam), RM300 (bilal) dan RM200 (siak) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM674,400.

Untuk rekod, Najib tidak pernah lupa menyampaikan sumbangan raya dan banyak insentif lain bagi menghargai peneroka Felda dan keluarga mereka sepanjang beliau berkhidmat sebagai perdana menteri.

Mengapa PH pula sanggup berbuat demikian? Kenapa hanya sanggup beri bantuan khas raya kepada penjawat awam tapi kemudiannya melupakan peneroka Felda yang turut gigih memajukan negara?




Keadaan ini dilihat tidak adil buat peneroka Felda memandangkan ada sahaja di antara mereka yang sanggup menyokong Mahathir dan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Takkan tidak ada langsung peruntukan untuk mereka? Alasan hutang negara konon cecah RM1 trilion itu juga langsung tidak boleh diguna pakai memandangkan rakyat sudah tahu yang semuanya dimanipulasi bagi memburukkan kerajaan lama.

Di dalam manifesto 10 janji dalam masa 100 hari PH, mereka juga berjanji untuk menghapuskan hutang-hutang yang tidak wajar kepada peneroka Felda.

Bagaimana hendak menghapuskan hutang peneroka Felda sedangkan bonus raya kepada mereka pun tidak diberikan?

Seperti yang dapat dilihat kini, kebanyakan janji dalam manifesto jangka masa pendek PH itu gagal ditunaikan dengan pemimpin mereka sendiri mengakui sukar untuk melaksanakannya.

Jadi tidak hairanlah sekiranya PH terus melupakan segala janji palsu yang telah diwartakan kepada rakyat dan dibuat hanya untuk memancing undi sebelum pilihan raya yang lalu.


0 comments:

share2