Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 7, 2018

[TEMERLOH] - RAKYAT PERLU BIJAK PILIH KERAJAAN TERBAIK

TEMERLOH, 6 Mei 2018 – Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah bertitah supaya rakyat bijak memilih dengan memberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 9 Mei ini.

Baginda bertitah, amanah perlu diberikan kepada pihak yang ikhlas dan terbukti mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Semua pengundi perlu membuat penilaian yang tepat bagi memastikan masa rakyat dan negara sentiasa terjamin.

“Saya harap sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ini undilah dengan pemikiran yang matang dan waras, pilih dan berikan mandat kepada mereka yang terbukti memberi khidmat terbaik untuk keselesaan rakyat dan khidmat yang baik serta ikhlas.

“Tepuk dada tanya selera jangan salah makan, nanti sakit perut makanlah yang baik, undilah yang baik,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lanchang di Kampung Bongsu di sini hari ini.

Turut bercemar duli berangkat mengiringi baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin selaku wakil rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek.

Tengku Abdullah bertitah, baginda menghargai segala usaha kerajaan pusat di bawah kepimpinan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob yang telah meletakkan asas kesejahteraan rakyat di atas landasan yang betul dan utuh.

“Ini dapat dilihat dengan pelbagai hasil dan nikmat yang dikecapi oleh rakyat termasuklah PPR Kampung Bongsu yang merupakan salah satu agenda pembangunan negara dalam mensejahterakan rakyat.

“Kerajaan Persekutuan telah membina 118  buah projek PPR yang menelan belanja RM6 bilion yang dapat dimanfaatkan oleh 83,000 keluarga dan di Pahang sahaja sebanyak 36 projek dibina yang menunjukkan tanggungjawab kerajaan mensejahterakan rakyat,”titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda bertitah supaya lebih banyak projek PPR dilaksanakan di seluruh Pahang termasuklah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab dan DUN Kuala Semantan di bawah Parlimen Temerloh.

“Saya difahamkan ada lebih 187,000 golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan mereka ini memerlukan kediaman selesa, kita perlu projek PPR di DUN Mentakab serta Kuala Semantan, saya berharap perkara ini dapat diluluskan dengan segera,”titahnya.

Sementara itu Tengku Abdullah bertitah, lawatan yang dilakukan baginda bagi melihat usaha membantu rakyat bukanlah bermotifkan politik kerana ia dilakukan secara berterusan.

“Saya mendekati rakyat sepanjang tahun jadi tidak sepatutnya ada pihak menganggap lawatan saya ini sebagai lawatan untuk berkempen dan berpolitik, saya akan teruskan selepas pilihan raya,” titah baginda.

0 comments:

share2