Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 6, 2018

HUTANG NEGARA ZAMAN TUN M 103 PERATUS



Hutang negara zaman Tun M 103 peratus



Kuala Lumpur – Pembangkang lupa hutang negara di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah 103 peratus berbanding 50.8 peratus semasa di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda berkata, pembangkang memutar belitkan fakta dengan mencanangkan Malaysia menanggung hutang sebanyak RM686 bilion sedangkan jika disandarkan kepada pendapatan negara ianya hanya mewakili 50.8 peratus sahaja.

“Mereka mencanangkan hutang negara adalah RM687 bilion, terlalu banyak dan Malaysia akan bankrap sedangkan pada zaman Mahathir hutang negara adalah 103 peratus iaitu dua kali ganda daripada sekarang.

“Apabila hendak mengira kemampuan kewangan sesebuah negara, kita akan membuat pernilaian mengikut kiraan antarabangsa iaitu jumlah hutang dibandingkan dengan pendapatan negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Bagi saya kira okaylah 50.8 peratus itu, jauh lebih rendah berbanding 103 peratus kerana kerajaan mempunyai kemampuan untuk membayar balik hutang tersebut di samping pelbagai dasar yang telah diperkenalkan untuk mengurangkan hutang dan perbelanjaan pada masa akan datang.

“Kesemua dasar-dasar tersebut juga telah mendapat pengiktirafan daripada badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, Moody’s dan pelbagai lagi.

“Jika mereka yang tiada kaitan dengan kita pun mengiktiraf Malaysia, mengapa pembangkang kata Malaysia akan bankrap?” katanya dalam satu temubual yang disiarkan Facebook Friends of BN hari ini.

Tambah Arul, negara-negara lain yang lebih maju seperti Jepun juga mempunyai hutang yang tinggi iaitu kira-kira 250 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) manakala Singapura adalah melebihi 100 peratus.

Ketika ditanya mengenai hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa digunakan untuk membayar hutang 1MDB, Arul menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

Jelasnya, 1MDB diuruskan sebagai sebuah syarikat korporat dan tidak ada kena-mengena dengan hasil GST.

Hasil kutipan GST menurut Arul dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pembangunan infrastruktur di seluruh negara serta pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah.

“Dalam isu 1MDB, mangsa sebenarnya bukanlah kami walaupun kami kerap dikutuk, dihentam malah saya sendiri menerima pelbagai tohmahan tetapi pada pendapat saya, mangsa sebenar isu ini adalah rakyat.

“Rakyat menjadi mangsa kerana diperdaya oleh tipu helah pembangkang,” jelasnya sambil menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai bulat-bulat maklumat yang diperolehi mereka terutamanya melalui media sosial.

Katanya, setiap individu perlu memeriksa dan melakukan verifikasi terhadap maklumat tersebut bagi mengelakkan mereka tertipu.


0 comments:

share2