Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 21, 2018

PENEROKA BAKAL TERBEBAN JIKA MAJLIS PENASIHAT SALAH MAKLUMAT: SHAHRIR






Agak janggal apabila Majlis Penasihat Kerajaan tidak bercadang memanggil kedua-dua bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Shahrir Samad dalam membincang isu-isu berkaitan agensi itu.

Malah, apabila Ketua Majlis Tun Daim Zainuddin memanggil secara terpilih pegawai dan bekas pegawai atasan FELDA, timbul persoalan bagaimana majlis itu boleh mendapat penjelasan penuh berhubung agensi pengurusan perladangan tersebut.

Mereka yang dipanggil memberi keterangan semalam adalah bekas ketua pengarah FELDA, Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Sekalipun kemungkinan Majlis tersebut memanggil pengerusi mahu pun ahli politik, sewajarnya mereka mendapatkan maklumat terkini berkenaan FELDA, daripada pengurusan sekarang khususnya Pengarah Besar FELDA.

Lebih-lebih lagi Majlis itu boleh memanggil Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang pernah didapati bersalah kerana memfitnah FELDA bagi mendapatkan maklumat.

Shahrir ketika ditanya perkara ini turut hairan dengan keputusan Daim dan Majlis Penasihat yang ditubuh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Sabtu lalu bagi mendapat gambaran yang tepat terutama mengenai FELDA.

Tegasnya, beliau bersedia memberi keterangan kepada Majlis Penasihat sekiranya dipanggil malah amat yakin keadaan FELDA sekarang jauh lebih baik berbanding sebelum 2017.

“Sepatutnya Majlis ini lebih terbuka. Tidak perlu beretorik. Mereka (PH) sudah menang. Sekarang (mereka) ada tanggungjawab termasuk terhadap FELDA,”.

“Mereka harus lihat bagaimana FELDA memperolehi semula keyakinan ramai terutama pihak bank apabila dapat menerbitkan sukuk ketika mana sebelum ini tidak ada bank berani memberi pinjaman.

Malah, hutang ekstrim peneroka hasil daripada faktor luar jangka juga telah dapat solusi.

“Model baru pinjaman tanam semula yang mengurangkan bebanan peneroka sebanyak 70 peratus juga adalah kejayaan FELDA.

“Malah peneroka dan stak kini lebih yakin terhadap urus tadbir yang lebih baik,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Menurut Shahrir, jika tersilap maklumat dan urus tabir kerajaan PH, yang terjejas adalah peneroka.

Katanya, FELDA sepatutnya meneruskan fokus kembali kepada tanggungjawabnya yang hakiki, iaitu mengurus kebun dan hasil kebun peneroka.

“Saya lihat, dengan retorik politik termasuk ura-ura mengadakan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai FELDA, keyakinan insitusi kewangan negara terhadap agensi itu akan terjejas dan bakal mengagalkan penerbitan sukuk yang sebenarnya berada di peringkat terakhir,” jelas Shahrir.

Menurutnya, perkara utama yang harus dipercepatkan pemerintah baharu negara ialah pelantikan Pengerusi untuk Lembaga FELDA.

“Urus tadbir FELDA perlu kepada Lembaganya untuk membicang, menimbang dan meluluskan agenda kerja FELDA.

“ Tanpa sebuah lembaga yang boleh bermesyuarat, perkara-perkara yangg melibatkan kepentingan peneroka dan FELDA tidak dapat diputuskan,” jelasnya lagi.

Sebagai contoh kata Shahrir adalah permintaan ANAK untuk membayar duit raya kepada 112,635 peneroka dalam bulan Ramadhan ini tidak dapat dilakukan.

Tambahnya, meskipun kerajaan PH mengumumkan pemberian duit raya, FELDA tidak boleh membayar tanpa keputusan Lembaga kecuali kerajaan yang membayar terus kepada peneroka dan tidak melalui FELDA.


0 comments:

share2