Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 5, 2018

KUALA KRAU KERUSI 'TENANG'



Kuala Krau kerusi ‘tenang’



Di sebalik beberapa kerusi panas kedengaran di beberapa kawasan Parlimen di negeri ini, Parlimen Kuala Krau boleh dikatakan antara kerusi yang ‘tenang’ di Pahang pada PRU14 kali ini.

Ketika hari pengundian tinggal empat hari lagi, tiada kedengaran isu-isu ‘panas’ di kerusi itu mahupun di kerusi Dun Jenderak, Jengka dan Kerdau di bawahnya terutama dalam isu calon dan sebagainya.Keputusan Umno BN mengekalkan Dato' Sri Ismail Mohamed Said pada PRU14 ini untuk mempertahankan kerusi yang disandang sejak tiga penggal lalu lalu sudah tentu bersandarkan kepada keupayaan bekas ahli parlimen itu dan suasana ‘selamat’ di Kuala Krau.

Pada PRU13, Ismail memperoleh 21,575 undi manakala calon Pas ketika itu, Shahril Azman Abd Halim memperoleh 15,370 undi sekaligus menang selesa dengan majoriti agak tinggi, 6,205 undi.

Mengambil kira kepada prestasi sokongan ke atas beliau sejak PRU12, peluang Ismail mengekalkan kerusi tersebut seperti tiada masalah dan sukar untuk digugat lawannya, Kamal Ashaari (Pas) dan Mohamad Rafidee Hashim (PKR) lebih-lebih lagi dalam situasi pertembungan tiga penjuru.

Pada PRU14 ini, bilangan pengundi berdaftar 47,264 pengundi berbanding PRU13, 43,003 pengundi dan majoritinya pengundi Melayu, 42,537 atau 90 peratus bagaimanapun berdasarkan rekod keluar mengundi pada pilihan raya umum sebelum ini, jumlah keluar mengundi kurang daripada 90 peratus.

Biarpun BN mungkin sudah selesa dengan sokongan pengundi sedia ada, namun jika dilihat kepada peningkatan lebih 4,000 pengundi kali ini, mungkin Pas dan PKR juga ada peluang namun dengan sokongan kepada pembangkang yang terbahagi dua kini, secara mudahnya sudah tahu jawapan siapa pemilik kerusi tersebut.

Pas dan PKR perlu mengharapkan berlakunya lonjakan undi Melayu yang akan memihak kepada mereka selain sokongan pengundi sedia ada.

Seperti yang sering diperkatakan, dalam politik semua boleh jadi. Biarpun pada perkiraan di atas kertas Ismail sudah selesa, tempoh 11 hari berkempen yang kini berbaki empat hari lagi, Pas dan PKR mungkin berjaya menarik sokongan pengundi dengan strategi masing-masing.
Umno miliki reputasi baik

Dalam perkara ini perlu juga dilihat potensi sokongan calon di kawasan Dun termasuk Kerdau, Jengka dan Jenderak yang sebelum ini semuanya milik Umno.

Sebagai bekas Exco Kerajaan negeri selain dengan imej bersih dan ilmuan agama, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad mempunyai pakej lengkap untuk menarik sokongan pengundi di Kerdau tinggal lagi sejauh mana penerimaan pengundi terhadap parti yang didukungnya itu.

Jika kita lihat pengalaman pilihan raya yang lepas, ada calon yang terbaik kalah disebabkan penolakan kepada parti yang diwakili.

Syed Ibrahim yang ‘naik’ melalui pilihan raya kecil pada 2011 berjaya mengekalkan sokongannya pada PRU13 apabila menewaskan calon Pas, Kamal Asaari dengan majoriti 2,513 undi iaitu hampir 50 peratus sokongan daripada jumlah pengundi berdaftar 2013, 10,801 pengundi.

Tidak boleh dinafikan, Pas juga nampak kuat di Kerdau cumanya dengan kewujudan Amanah sebagai salah satu komponen Harapan, ada dalam kalangan ahlinya beralih arah dan memilih mengundi PKR kali ini.

Bagi kerusi Dun Jengka, penyandangnya Dato' Wan Salman Wan Ismail mungkin lebih selesa pada PRU14 ini apabila tidak lagi berdepan saingan sengit selepas Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di Kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Tempat Tuan Ibrahim digalas Shahril Azman Abd Halim yang tewas kepada Ismail di kerusi Parlimen Kuala Krau pada PRU13.

Sudah tentu, perkembangan ini satu kelegaan kepada Wan Salman memandangkan majoriti yang dimenanginya ketika berdepan Tuan Ibrahim agak tipis dan pada PRU14 ini pula, berlaku pertembungan tiga penjuru yang jika di congak mudah, peluang lebih memihak kepada beliau.

Pengalaman luas bekas Adun Jenderak yang juga mantan Timbalan Speaker Dun Pahang, Datuk Mohamed Jaafar juga mungkin masih diharapkan penduduk yang terdiri 71 peratus Melayu, Cina (8 peratus), India (5 peratus) dan lain-lain termasuk Orang Asli (17 peratus) di kawasan itu untuk terus mewakili mereka.

Pada PRU13, Mohamed memperoleh 5,047 undi mengalahkan calon PKR, Sulaiman @Suhaimi Said (2,865 undi) calon bebas, Parirud-Din Muhamed Amin (94) undi dengan majoriti 2,182 undi.

Biarpun suasana di Kuala Krau nampak tenang, penentunya segalanya adalah pada 9 Mei ini.


0 comments:

share2