Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 27, 2018

[ROMPIN] SHAMSIAH DIPILIH CALON DUN BUKIT IBAM



Shamsiah dipilih calon Dun Bukit Ibam



Teka-teki pemilihan calon Dun Bukit Ibam akhirnya terjawab setelah pucuk pimpinan BN memilih Ketua Wanita Umno Bahagian Rompin, Dato' Shamsiah Arshad bagi menghadapi PRU14 ini.

Pengerusi BN Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob yang memaklumkan pemilihan tersebut berkata, calon itu dipilih bagi memenuhi kouta Wanita Umno dalam barisan calon BN.

Jelasnya lagi, calon itu menggantikan penyandang terdahulu, Dato' Wan Kadri Wan Mahusin yang digugurkan.

"Pucuk pimpinan memilih Shamsiah bagi memenuhi kuota Wanita Umno kerana dua calon wanita yang dipilih tidak diiktiraf sebagai Wanita Umno.

"Sebelum ini BN Pahang meletakkan dua calon wanita iaitu Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin bagi Dun Kuala Sentul dan Nurhidayah Shahaimi (Luit) namun ianya bukan atas kapasiti Wanita Umno," katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Pahang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, kata Adnan, Wan Kadri disifatkan sebagai seorang pemimpin berjiwa besar kerana beliau menerima penggugurannya dengan hati terbuka.

"Beliau menerima keputusan ini (tidak disenaraikan) dengan hati terbuka, walaupun beliau hanya diberi peluang untuk sepenggal sahaja.

"Saya ada menemuinya selepas pengumuman calon dan dia nampak tenang menerima keputusan ini," katanya.

Sementara itu, Adnan turut menganggap tindakan protes dilakukan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati terhadap calon yang dipilih, perkara biasa berlaku.

"Benda ini adalah biasa, tak ada hal lah...ia ada di mana-mana dan protes itu tidak menjejaskan keputusan yang kita dah buat.

"Protes la macam mana pun...tak akan ada sebarang perubahan pun walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati kerana keputusan telah dilakukan," katanya.


0 comments:

share2