Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 22, 2018

RAMAI PERCAYA TOHMAHAN SERTA FITNAH PEMBANGKANG KERANA DIBUAT BERULANG KALI



Ramai percaya tohmahan serta fitnah pembangkang kerana dibuat berulang kali



Bagan Datuk – Tohmahan dan fitnah yang berulang kali dilemparkan pembangkang terhadap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) telah mengakibatkan ramai orang percaya dan terpengaruh dengan berita-berita tidak benar bagi memburukkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah memutar belit berita tidak benar oleh pembangkang yang diulang-ulang, dikitar semula sesuatu berita palsu itu dengan mengguna pakai teori Menteri Propaganda Nazi Hitler pada era Perang Dunia Kedua akhirnya boleh meresap dalam fikiran rakyat.

“Apabila sesuatu yang batil ini diulang-ulang dan terus diulang tayang, ianya mengikut teori Menteri Propaganda Hitler bernama (Joseph) Goebbels mengatakan jika sesuatu fitnah, tohmah ataupun sesuatu yang bidaah, jika diulang-ulang maka akhirnya termasuk dalam minda khalayak.

“Jadi inilah yang sedang mereka lakukan kitar semula isu-isu dan juga melontarkan tohmahan yang berbagai-bagai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata, sebaliknya pendekatan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memastikan setiap janji dalam manifesto BN yang terdahulu ditepati.

Katanya, kerajaan telah meneliti dan mengambil kira semua pendekatan termasuk kejayaan dalam pelaksanaan terdahulu bagi membuat manifesto BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelasnya, ini dibuktikan apabila Jawatankuasa Kabinet Meneliti Aku Janji PRU13 yang dipengerusikannya mendapati, pencapaian kerajaan menepati janji adalah sebanyak 99.4 peratus sekali gus menyerlahkan komitmen kerajaaan dalam merealisasikan apa yang telah dijanji.

Ahmad Zahid juga berkata, janji pakatan pembangkang untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sesuatu yang tidak realistik, janji yang tidak berpijak di bumi nyata serta tiada kemunasabahannya.

0 comments:

share2