Semporna – Penduduk dalam Parlimen Semporna menerima dua perkhabaran gembira yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Dua berita baik itu ialah projek menaik taraf jalan raya sepanjang 18 kilometer dari bulatan simpang ke Kunak hingga ke Pekan Semporna daripada dua laluan kepada empat laluan, dan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna.
Menurut Najib, dua projek itu yang diumumkan itu adalah lambang keprihatinan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat kawasan itu.
Berucap dalam lawatan kerja pertamanya ke Semporna, Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu, untuk melihat projek itu dapat direalisasikan, rakyat kawasan Parlimen berkenaan mestilah memberi sokongan kepada BN bagi membolehkan perubahan besar dilakukan di daerah itu.
“Ini adalah keprihatian BN kepada rakyat Semporna dan atas permintaan pemimpin di sini dan Ketua Menteri Sabah, (Tan Sri Musa Aman),” katanya berucap melancarkan Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna, di sini, hari ini.
Jelas beliau, pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum contohnya, akan menjadikan bumi Semporna sebagai pusat pelancongan dan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Terdahulu Ketua Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban menyentuh mengenai keperluan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di pulau itu.
Katanya, pembinaan jambatan itu juga bagi kemudahan penduduk di pulau berkenaan yang akan merancakkan lagi pembangunan.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Nasir Tun Sakaran pula dalam ucapannya menyatakan keperluan menambah laluan jalan raya dari simpang bulatan ke Kunak hingga ke Pekan Sempona itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.
Pembinaan jambatan sepanjang 1.4 kilometer itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di Pulau Bum-Bum yang tinggal di 52 kampung.
Ia juga sejajar dengan pengisytiharan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil yang turut diadakan pada majlis yang sama.
0 comments:
Post a Comment