Dua ekor gajah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Temerloh bertindak sebagai denak untuk menjinakkan gajah betina liar di Hutan Simpan Hulu Jelai, di sini, hari ini.
Denak betina tersebut, Abot dan Rambai digunakan bagi membawa Mek Zah ke dalam lori sebelum dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.
Seramai 25 orang kakitangan dari Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, PKGK Kuala Gandah dan Pejabat Perhilitan Daerah Lipis terlibat dalam proses pemindahan berkenaan.
Kerja-kerja pemindahan Mek Zah mengambil masa hampir tiga jam bermula jam 10 pagi dan berakhir 1 tengah harI, selain turut disaksikan lebih 100 penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koyan.
Abot dan Rambai menarik Mek Zah ke dalam lori untuk dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.
Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, gajah betina dewasa berusia antara 25 dan 30 tahun itu berjaya dipindahkan selepas dikatakan merosakkan ladang milik peserta Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai, Kampung Kuala Medang.
Menurutnya, aduan mengenai ancaman binatang liar itu diterima pihaknya awal bulan ini sebelum anggota Perhilitan masuk ke dalam hutan 20 Mac lalu bagi mengesan kedudukan gajah itu.
“Bertindak atas maklumat, pelbagai usaha dilakukan sebelum kita berjaya menangkap Mek Zah yang memiliki saiz tapak kaki lebih kurang 14 inci, tinggi 226.5 sentimeter dan memiliki berat mencecah hampir dua tan,” katanya di sini, hari ini.
Ahmad Azhar berkata, kos pemindahan gajah itu dianggarkan mencecah RM50,000 melibat kos tangkapan, pengangkutan, logistik dan lain-lain.
Beliau turut meminta pihak berkaitan agar dapat memasang pagar elektrik bagi mengelakkan gajah liar daripada mendekati kawasan pinggir kampung dan ladang TKPM Jelai yang terletak berdekatan hutan.
Menurutnya, langkah lain yang turut boleh diambil ialah dengan membuat parit gajah serta memasang lampu LED dalam usaha menangani ancaman gajah liar.
Kakitangan Perhilitan dan PKGK Kuala Gandah yang menyertai operasi memindahkan gajah liar di Hutan Simpan Hulu Jelai.
Dalam pada itu, penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koyan, Munan Yai, 46, berkata, sebelum ini penduduk sering bimbang untuk ke kebun ekoran berlaku serangan gajah liar yang menyebabkan hasil tanaman mereka musnah.
“Kalau nak diikutkan memang banyak kali dah serangan gajah ini berlaku serta menyebabkan kerugian besar pada penduduk.
“Jadi bila Perhilitan ni berjaya memindahkan seekor gajah hari ini, kami boleh tarik nafas lega sikit,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nayan Chelek, 54, memuji kecekapan pihak Perhilitan dan PKGK Kuala Gandah dalam usaha menangkap dan memindahkan haiwan itu.
“Tindakan segera pihak berkenaan bukan sahaja dapat mengelakkan keselamatan penduduk daripada terancam, malah meminimumkan kemusnahan tanaman seperti kelapa sawit, nangka dan getah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment