Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 27, 2018

[KUANTAN] KELUARLAH MENGUNDI: PENGARAH JABATAN BELIA DAN SUKAN PAHANG



Keluarlah mengundi: Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang




Agensi kerajaan dan NGO terutama belia di negeri ini disaran memainkan peranan menggalakkan golongan muda keluar mengundi pada PRU14.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Shamsuhaime Basir berkata, ini kerana terdapat peratusan mengundi yang tinggi dalam kalangan anak muda.

Jelasnya, golongan berkenaan sudah matang dengan politik sekali gus boleh menunaikan kewajipan menentukan hala tuju negara.

“Kita semua perlu meraikan demokrasi termasuk generasi muda kerana sistem berkenaan telah diterima sebagai cara untuk menentukan pemimpin negara melalui kaedah pilihan raya.

“Individu yang keluar mengundi bagi menentukan siapa pemimpin pilihan mereka juga menggambarkan kita sudah berjaya melahirkan insan matang dan bijak menilai.

“Kesedaran terhadap hal ini menjadi tanggungjawab agensi kerajaan dan NGO di mana secara tidak langsung kita ni ejen penggerak ketamadunan bangsa,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Salam Anak Muda Perdana Negeri Pahang di sini, malam tadi.

Program tersebut diadakan bagi melaksanakan gerakan di peringkat daerah di negeri Pahang dalam usaha menggalakkan lebih ramai generasi muda keluar mengundi, 9 Mei depan.

Turut hadir, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) Wan Emril Nizam Wan Embong, timbalannya, Abdul Basits Mohamed Mokhtar dan wakil exco setiap daerah.

Sementara itu, katanya lagi, statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini telah merekodkan seramai 3.6 juta individu berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September tahun lalu.

“Namun begitu statistik pemilih dalam Daftar Pemilih sehingga suku ketiga 2017 pula menunjukkan terdapat seramai 14.8 juta orang dalam lingkungan usia yang sama.

“Kita mendapati ramai yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah golongan muda.

“Diharapkan dengan program seperti ini ia dapat meningkatkan jalinan MBNP dengan mereka untuk meningkatkan bilangan individu yang mendaftar sekali gus keluar mengundi pada masa akan datang,” katanya.


0 comments:

share2