Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 7, 2018

[JENGKA] GPW JENGKA 2 ANJUR LEBIH BANYAK PROGRAM




GPW Jengka 2 anjur lebih banyak program




Gabungan Persatuan Wanita Jengka 2 (GPW) akan lebih aktif menganjur aktiviti membabitkan lebih ramai wanita dan kumpulan suri rumah.

Pengerusinya Siti Aziah Yahaya berkata, dengan gerakan aktif GPW serta peduli gerakan terbabit, golongan wanita serta suri rumah di Felda Jengka 2 ini akan lebih kuat dan mantap sekali gus menjadi benteng utama kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan di Felda Jengka 2.

“Selain program lawatan rumah ke rumah, kelas agama, bacaan surah Yasin dan pertanian, kita juga akan menjalankan projek ekonomi.

“Ahli yang ingin menceburi bidang perniagaan dan usahawan kita akan cuba menonjolkan mereka bagi mendapat pelbagai bantuan dan kemudahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di bangunan baru GPW Jengka 2 yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Maran Dato' Sri Dr Ismail Abdul Muttalib baru baru ini.

Bangunan berharga RM50,000 itu siap dibina bulan lepas mengandungi pejabat, dewan serta tandas menjadi mercu tanda dan pusat kegiatan GPW Jengka 2.

Menurutnya, sejak penubuhannya, GPW Jengka 2 telah menjalankan pelbagai program kemasyarakatan dengan jaya menyantuni serta menyatukan golongan wanita serta suri rumah di tanah rancangan tersebut.

“Kita akan terus memperkasakan gerakan GPW ini sebagai pemangkin kepada pelbagai kegiatan dan kemajuan di kawasan tanah rancangan ini.

“Kita bersedia memberikan bantuan, khidmat, kerjasama kepada siapa juga yang memerlukan demi perpaduan dan kejayaan masyarakat di tanah rancangan Felda Jenga 2 ini,” katanya.

Katanya, dengan adanya bangunan ini, GPW Jengka 2 akan menjalankan lebih banyak lagi program dan kegiatan kemasyarakatan untuk menjana ekonomi gerakan GPW itu.

Dalam pada itu beliau mohon peruntukan bagi membina bangunan tambahan untuk ruang dapur bagi kemudahan ahli membuat pelbagai persiapan masakan dan minuman jika ada majlis keramaian dan sebagainya.


0 comments:

share2