Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 18, 2018

EKSKLUSIF: MEMENANGI KELANTAN... LUAHAN RASA ANNUAR MUSA



EKSKLUSIF: Memenangi Kelantan…luahan rasa Annuar Musa



Tan Sri Annuar Musa adalah pemimpin politik penuh warna. Beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh selama 20 tahun, menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 14 tahun dan berkhidmat sebagai menteri hampir 10 tahun lamanya. Beliau mula aktif dalam UMNO sejak tahun 1979.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Barisan Nasional Kelantan (1994-2001) dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan (1991-2003). Beliau pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Nilam Puri dan Peringat dari 1986 hingga 29 Januari 2016.

Pada 29 Januari 2016 beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Ikuti wawancara wartawan theRakyat.com, SYAHRIL A. KADIR dengan Annuar, Ahli Parlimen yang berkelulusan ijazah sarjana dari Universiti London itu di pejabatnya di Menara Datuk Onn dekat ibu negara semalam.

SOALAN: Sejauh mana Tan Sri merasakan peluang BN untuk kembali berkuasa memerintah Kelantan

TAM: Setiap kali pilihan raya sejak Pas mengambil alih Kelantan, kita sentiasa berhadapan dengan pertarungan dua penjuru.

Selain itu, BN juga berhadapan dengan gabungan pembangkang sejak Pas bergabung dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah suatu ketika dulu.

Namun dalam PRU14 senario itu tidak lagi berlaku.

Kalau dulu perpecahan berlaku dalam UMNO, kini perpecahan itu berlaku dalam Pas pula.

Sekarang ini tidak ada lagi sifir politik yang boleh kita rujuk sebab Bersatu cuba memecahkan UMNO Kelantan manakala PAN pula cuba memecahkan Pas negeri ini.

Yang pasti setakat ini perpecahan di peringkat UMNO boleh dikatakan minimum tetapi perpecahan di pihak Pas melalui didapati lebih serius.

Ini akan memberi kesan kepada kerusi-kerusi marginal Pas.

Namun kena ingat, dalam politik ada satu lagi perkara yang tak boleh dibaca dengan angka iaitu sentimen.

Secara peribadi kalau berdasarkan arithmetik politik, BN masih belum boleh menawan Kelantan namun kerusi BN mungkin bertambah daripada sekarang.

Nak bentuk kerajaan di negeri ini kena ada 23 kerusi. BN mungkin boleh menghampiri garis namun belum tentu ia lepas.

Tetapi dari segi sentimen, jika rakyat merasakan ingin mencuba atau kembali ke BN, perbezaan empat atau lima kerusi itu akan ‘cross’ dan di sini BN boleh menang.

SOALAN: Apakah faktor yang akan menentukan kemenangan di Kelantan?

TAM: Ramalan saya ada dua perkara yang akan menentukan kemenangan di Kelantan.

Pertama, makin ramai penyokong Pas tak puas hati dengan parti mereka dan merasakan kepimpinan Pas Kelantan ketika ini tak seperti di zaman arwah Tok Guru Nik Aziz.

Golongan ini merasakan Pas perlu ditegur dan diberi pengajaran dengan tidak memberi undi kepada parti tersebut.

Mereka mungkin akan protes dan beri undi kepada Pakatan Harapan.

Kedua, khalayak pula merasakan jika undi Pas mereka tidak akan dapat apa-apa.

Kebetulan terlalu banyak janji yang Pas Kelantan tidak laksanakan sehingga dah jadi sinonim di kalangan rakyat, kalau Pas yang berjanji, jangan berharap sangatlah.

Di sinilah saya nampak ada cahaya di hujung terowong kepada BN.

Kalau sentimen ini diterjemahkan melalui undi, saya ramalkan BN akan memerintah Kelantan.

SOALAN: Bagaimana dengan faktor pengundi luar yang dikatakan menjadi faktor ‘menyekat’ kemenangan BN di Kelantan?

TAM: Bab pengundi luar, sebagai orang Kelantan, mereka sanggup jadi ‘lain daripada yang lain’. Mereka sanggup lawan dan sanggup tunjukkan mereka boleh buat benda yang berbeza.

Ini adalah satu kebanggaan. Orang Kelantan ni sentimen kenegerian mereka kuat.

Mereka merasakan yang mempertahankan status quo itu sesuatu yang ‘fashionable’.

Jadi pengundi luar ini bila mereka balik, mereka akan mempertahankan benda yang sedia ada.

Tetapi kali ini saya nampak perbezaan. Ramai anak Kelantan di perantauan mula berfikir, nak pertahan Kelantan ni nak pertahankan apa sebenarnya?

Begitu juga pengundi bukan Islam. Dulu ramai di kalangan mereka menyokong Pas tetapi kini undi mereka saya ramalkan beralih sama ada pada BN atau pada Pakatan Harapan.

Yang pasti, dalam PRU14 nanti, undi Pas di Kelantan ini pasti susut.

SOALAN: Bagaimana Tan Sri melihat komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri sendiri di Kelantan ini.

TAM: Satu lagi kelebihan BN sekarang ini adalah bila Datuk Seri Najib Tun Razak mula lakukan pendekatan berbeza daripada Tun Dr. Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dulu.

Cara Dr. Mahathir dulu, beliau buat lebuh raya tetapi berhenti setakat di Terengganu.

Bila datang ke Kelantan, beliau hentam kerajaan negeri. Bila kerajaan negeri minta peruntukan beliau potong.

Najib pula berlawanan. Apa yang Dr. Mahathir tak buat, beliau buat. Ini melembutkan hati orang Kelantan.

Dengan adanya keretapi laju, dengan adanya lebuh raya, dengan adanya pembesaran lapangan terbang, ini semuanya berita yang menggembirakan rakyat Kelantan.

Kalau nak kata orang Kelantan betul-betul fanatik dan sayang sangat pada Pas tidak juga.

Ini terbukti saya masih lagi menang di sana.


Temubual eksklusif bersama Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa di Menara Datuk Onn PWTC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2018.



SOALAN: Kalau begitu di mana silapnya UMNO di Kelantan ini kerana masih lagi gagal berkuasa di negeri tersebut?

TAM: Saya meletakkan kesalahan itu pada orang kita sendiri.

Walaupun banyak daripada kita datang dari Kelantan tetapi kita sendiri gagal membaca sifat dan hati nurani orang Kelantan.

Dalam erti kata lain kita ni nama saja orang Kelantan tetapi kita tidak bertindak seperti orang Kelantan.

Di situlah kita gagal mendapatkan sokongan.

Ramai di antara kita orang Kelantan tetapi suka kutuk negeri sendiri, ada yang lebih suka membawa imej Kuala Lumpur bila pulang ke kawasan.

Bagi saya ramai calon BN tidak menang adalah disebabkan mereka lebih suka bawa imej Kuala Lumpur.

Rakyat pilih kita untuk membela mereka, bukan untuk bela kerajaan pusat.

Kalau nak jadi wakil rakyat di Kelantan, kita kena betul-betul merendah diri. Tidak cukup sekadar jadi wakil rakyat hujung minggu.

Untuk membuktikan kita ‘kuat’, kita selalu buat program besar-besar, ada formaliti, ada VVIP namun rakyat Kelantan tak peduli semua itu.

Cukuplah sekadar program kecil, turun ke surau, pergi kenduri kahwin, ziarah kematian, minum di kedai kopi…rakyat Kelantan tak kisah awak menteri ke apa ke.

Lagi pangkat awak besar, lagi seronok mereka nak jatuhkan!

Orang UMNO kita ni selalu rasa bila pangkat dah besar, kita rasa kita dah jadi orang yang sangat berpengaruh.

Dalam konteks orang Kelantan, awak tak jadi orang berpengaruh kerana awak ada pangkat.

Kita dilihat berpengaruh berdasarkan cara pembawakan kita dan cara kita berpolitik dengan akar umbi.

Ini yang kurang dalam UMNO.

Orang UMNO ni kuat di atas tetapi lemah di bawah tetapi orang Pas pula sebaliknya.

Orang Pas tak banyak yang pangkat besar-besar, tak banyak Datuk dan Tan Sri tetapi mereka kuat di bawah.

Saya bagi perbandingan, orang kita sebagai contoh dok bergantung pada cawangan sahaja, cawangan kalau berjumpa adakalanya sekali setahun.

Tetapi kalau kita pegang surau, lima kali boleh jumpa dalam sehari.

Apa yang boleh saya simpulkan, kalau kita nak jadi pemimpin di Kelantan, kita jangan ‘tercabut akar’ jadi orang Kuala Lumpur.

Saya bercerita ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Saya jatuh dulu waktu saya ada pangkat, waktu saya sibuk, waktu saya jadi menteri.

Mereka tak hairan pangkat kita, tetapi kalau ‘berlaga angin’, mereka akan tetap undi kita.

Dalam kawasan saya ada 15,000 orang UMNO tetapi undi yang saya dapat sekitar 27,000 maknanya yang ramai mengundi saya bukan orang UMNO pun.





SOALAN: Sejauh mana penyertaan Tun Dr. Mahathir dalam barisan pembangkang boleh menganggugugat BN?

TAM: Percayalah di Malaysia ini orang dah lama tolak beliau. Apatah lagi orang Pas di Kelantan tetapi sebagai orang Melayu, kita kenang dengan jasa-jasa yang beliau taburkan.

Apabila Dr. Mahathir ada krisis peribadi dengan Datuk Seri Najib, beliau tahu beliau kena fikirkan sesuatu.

Lalu mula-mula sekali beliau cuba jatuhkan Najib melalui dalam UMNO. Cipta isu dan kontroversi, dapatkan sokongan akar umbi kemudian jatuhkan Presiden.

Sebab itu Tan Sri Muhyiddin digunakan, cipta gelombang dan cuba jatuhkan Najib sebelum Perhimpunan Agung UMNO tetapi ‘snowball’ itu tidak berlaku.

Waktu Dr. Mahathir nak tolak Pak Lah, nak tolak Ku Li, nak tolak Anwar cara ini berkesan namun tidak bila ia dibuat ke atas Najib.

Bila Najib dengan tanpa disangka-sangka singkirkan Mukhriz dan Muhyiddin, Dr Mahathir dah tak ada pilihan melainkan terus menyerang sampai ke tahap yang cukup ekstrim!

Kena ingat, Dr. Mahathir terhutang budi kepada Tun Razak kerana mengangkat dirinya lalu dia pun mengangkat anak Tun Razak (Najib).

Jadi dia sangka anak dia (Mukhriz) pula lepas ini akan diangkat oleh Najib, namun bila perkara tersebut tidak berlaku, Dr. Mahathir mula menjadi sangat marah.

Memandangkan Dr. Mahathir tahu ramai orang UMNO tidak menyokongnya, beliau terpaksa bernaung di bawah DAP!

Dalam erti kata lain, saya percaya kekuatan Dr. Mahathir terbatas dan BN akan menang besar kali ini.


0 comments:

share2