Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 28, 2018

BANYAK MANFAAT PEMBINAAN HSR



Najib Razak




Kuala Lumpur - Dato' Sri Najib Tun Razak hari ini berkongsi pandangan yang diutarakan Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Garry Chua berhubung manfaat yang bakal diperoleh berikutan pelaksanaan projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik Perdana Menteri menerusi laman sosial Facebook beliau, Chua berkata, tempoh perjalanan akan lebih pendek sekali gus mampu meningkatkan produktiviti penduduk selain memperkasakan sektor perdagangan antara kedua-dua negara itu.

"Satu perkara yang mengujakan saya ialah pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan HSR yang mana kedua-duanya telah mula dilaksanakan beberapa tahun lalu dan ia lebih menjimatkan kos.

"Ekonomi Malaysia dan Singapuara sangat simbiotik, saling bergantung antara satu sama lain, ada situasi menang-menang. Namun, secara faktanya Malaysia lebih menang kerana negara ini lebih besar dan lebih tinggi dari segi jumlah populasi penduduknya," kata Chua seperti dipetik dalam satu sesi temu bual.

Menurut Chua, sektor pelancongan di kedua-dua negara juga akan turut melonjak kerana pergerakan pelancong akan lebih mudah, cepat dan selesa.

"Pelancong dari Singapura datang ke negara ini dalam masa beberapa jam sahaja. Seperti di Jepun dan China, anda bergerak dari bandar ke bandar dengan sangat mudah dan selesa.

"Inilah apa yang rakyat mahukan kerana masa menjadi perkara yang terlalu penting dan kita tidak boleh beli masa," katanya.


0 comments:

share2