Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 29, 2018

BANTUAN KHAS PESAWAH JIKA DAPAT MANDAT



Bantuan khas pesawah jika dapat mandat



BN sedia umumkan tambahan bantuan khas pesawah berjumlah RM200 sebulan sekiranya diberi mandat meneruskan pentadbiran kerajaan pada PRU14.

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak berkata, sekiranya rakyat mahu pencapaian ekonomi negara terus melonjak naik, BN perlu diberikan mandat lebih besar.

Dengan itu, katanya, kerajaan bersedia pengumuman bantuan tambahan lebih daripada yang diperoleh sekarang.

“Jika sekarang dapat RM200 sebulan untuk tiga bulan, jumlahnya akan ditambah. Saya akan umumkan kemudian. Malam 9 Mei, bila kita tahu keputusan (PRU14) pencapaian lebih baik, malam itu juga akan diumumkan.

“Kita tidak payah dengar fitnah pembangkang. Dulu mereka kata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak. Bila tengok manifesto mereka, ada juga sentuh pasal BR1M. Ini semua tak boleh pakai, banyak sangat U-turn.

“Baik kita tumpu kepada cara nak tingkatkan hasil tanaman padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan ini. Saya sasarkan peningkatan hasil daripada 2.5 tan bagi setiap hektar kepada enam tan apabila siap projek sistem pengairan berintegrasi bernilai RM300 juta yang sedang dibangunkan ketika ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Pesawah Peringkat Negeri Pahang di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada majlis tersebut, pesawah dari lima kampung di Pekan, Rompin, Kuantan, Maran dan Jerantut menerima Bantuan Khas Pesawah Padi berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Manakala, seramai 779 penerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat dan 442 penerima Bantuan ‘Touch Point’ Input Perikanan.

Sementara itu, Najib berkata, setiap tahun perkembangan ekonomi negara menunjukkan peningkatan secara konsisten walaupun keadaan ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

Menurutnya, ia adalah hasil daripada pengurusan ekonomi yang baik diamalkan kerajaan.

“Adalah menjadi falsafah kerajaan yang ada hari ini untuk menjana ekonomi bagi memberi manfaat kepada semua rakyat.

“Apabila kita berjaya menguruskan ekonomi dengan baik, sudah pasti ia akan meningkatkan hasil. Jangan pula bila sudah meningkat pendapatan, kita tumpukan di kawasan bandar sahaja, kena agihkan juga ke kawasan luar bandar,” katanya.


0 comments:

share2