Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 29, 2018

[ROMPIN] PERIGI BERUSIA 100 TAHUN, AIR MASIH BERSIH



Perigi berusia 100 tahun, air masih bersih




Sebuah perigi lama dipercayai berusia kira-kira 100 tahun di Kampung Rantau Panjang, di sini, masih utuh walaupun tanah di sekelilingnya sudah runtuh akibat hakisan.

Terletak di tebing sungai Rompin, di sini, ia merupakan milik ketua kampung pertama di situ yang dikenali sebagai Omar Awang Kechik, dibina pada awal 1900 untuk kegunaan keluarganya pada ketika itu.

Oleh kerana keunikannya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rantau Panjang ketika ini merasakan ia perlu dipelihara sebagai tinggalan sejarah.

Pengerusinya, Mohd Yazid Yahya berkata, keutuhan perigi itu memang unik kerana ia masih mampu bertahan walaupun tanah sekelilingnya sudah runtuh.

Menurutnya, ia kekal teguh, sekali gus membuktikan bahan binaan dan hasil tangan orang dahulu memang sangat berkualiti serta menolak sebarang kisah mistik di sebalik keutuhan perigi itu.

“Kawasan perigi ini mengalami masalah hakisan dan dianggarkan kira-kira seekar tanah tebing yang telah hilang ditelan sungai.

“Bagi mengelak ia berterusan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Rompin membina benteng dan ketika itu saya meminta supaya perigi ini dikekalkan sebagai tinggalan sejarah dan boleh menjadi tarikan pelancongan di sini,” katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal projek benteng itu, beliau meminta supaya dibina pagar atau tembok di sekeliling perigi.

Katanya, kekurangan peruntukan menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan, namun pihaknya akan membuat permohonan lagi pada masa akan datang agar cadangan itu dapat direalisasikan.

“Sebelum projek dimulakan saya ada buka perigi ini dan tengok ia masih ada air tawar, manakala airnya pula tidak kotor.

“Saya percaya inilah kelebihan perigi di kampung ini. Ada pihak luar kata bacaan pH airnya juga amat baik hingga dikatakan boleh diminum tanpa dimasak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kawasan itu, semalam.


0 comments:

share2