Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 11, 2018

PENDUDUK DAKWA BATU NISAN TOK MELA MEMBESAR



Penduduk dakwa batu nisan Tok Mela membesar



Batu nisan di empat kubur dipercayai milik Tok Rahim atau dikenali sebagai Tok Mela serta keturunannya seakan ‘bernyawa’ apabila memiliki ketinggian mencecah dua meter.

Kejadian itu turut menimbulkan tanda tanya penduduk Kampung Mela, Mukim Cheka 1.

Seorang penduduk, Mohd Safri Salleh, 38, berkata, mengikut kisah mulut ke mulut Tok Mela membuka penempatan ini sekitar tahun 1809 dan berkahwin dengan Siti Sarah yang digelar Cik Hitam Cuai.

Menurutnya, kubur mempunyai batu nisan ‘bernyawa’ itu dikatakan milik Tok Mela, Cik Hitam Cuai, anak serta menantu mereka.

“Batu nisan ini merupakan batu sungai yang bersaiz kecil dan mengikut cerita orang terdahulu beberapa kerbau terpaksa digunakan bagi menarik batu terbabit untuk diletakkan di atas kubur berkenaan.

“Keanehan batu nisan yang seolah-olah bernyawa dan membesar membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya apakah fenomena sebenar di sebalik kejadian itu,” katanya.

Mohd Safri yang juga Biro Kebajikan dan Belia Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mela berkata, kubur berkenaan juga dikatakan memiliki unsur mistik apabila berlaku suatu kejadian yang tidak diduga serta menjadi pengajaran kepada penduduk.

Tambahnya, satu ketika dahulu pernah berlaku kejadian seorang lelaki Cina melakukan perkara tidak elok iaitu ‘menurunkan sesuatu’ di kubur itu tetapi tidak mendapatkan hasil lalu berdendam dan membuat salah di kubur terbabit.

“Kesudahannya dia dikatakan menerima akibat iaitu sakit saraf tunjang yang tidak pulih hingga akhir nyawa.

Bagaimanapun, Mohd Safri mengingatkan penduduk supaya tidak terlalu mempercayai perkara itu.

“Kita janganlah memikirkan yang bukan-bukan kerana apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan salah,” katanya.

Setiausaha JKKK Mela, Hazimah Mohd Salleh, 61, pula berkata, penduduk berusaha menjaga kawasan tanah perkuburan berkenaan kerana ia merupakan sejarah yang boleh diceritakan kepada generasi akan datang.

“Setiap tahun menjelang Ramadan penduduk akan sama-sama bergotong royong membersihkan kawasan perkuburan ini bagi memastikan nya sentiasa terpelihara.

“Selain itu, penduduk kampung ini turut berusaha menjaganya supaya bebas daripada gangguan pihak tidak bertanggungjawab termasuk melakukan perkara tidak baik di kubur ini,”katanya.


0 comments:

share2