Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 9, 2018

[KUANTAN] KUCING PENGERAT KASIH SAYANG ROSHALIZA, MOHD FADZIL



Kucing pengerat kasih sayang Roshaliza dan Mohd Fadzil



Kehadiran lapan kucing yang dibela sejak beberapa tahun lalu mengubat kesunyian dan pengerat kasih sayang dalam rumah tangga yang dibina selama 13 tahun.

Pasangan suami isteri Roshaliza Roslan, 35, dan suami, Mohd Fadzil Mat Yasin, 40 berkata, mereka melayan semua kucing seperti anak sendiri.

Menurut Roshaliza, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata dan kucing peliharaan itu menjadi tempat berkongsi kasih sayang.

Justeru, kesemua kucing itu mempunyai sangkar khas, makanan dan rawatan kesihatan secara berjadual.

Dia yang menetap di Kampung Seri Damai berkata, rumah tangga mereka sentiasa meriah dan ceria dengan kehadiran lapan kucing baka tempatan dan seekor jenis Parsi yang dibeli dengan harga RM700.

“Setiap kucing diberi nama Oyen, Bella, Putih dan Omey, dan mempunyai perwatakan serta perangai berbeza yang dianggap unik serta menarik.

“Kesunyian tanpa zuriat terubat dengan adanya haiwan manja yang menjadi penghibur dan peneman di rumah, gelagat kucing turut dapat menghilangkan tekanan serta penat menguruskan rumah tangga,”katanya kepada Sinar Harian.

Roshaliza berkata, rutin hariannya bermula dengan mencuci sangkar dan memandikan kucing pada sebelah pagi, makanan khas beberapa jenama disediakan sepanjang hari bagi memastikan haiwan terbabit tidak lapar.

“Kucing yang mengalami masalah kesihatan selain pemeriksaan bulanan akan dihantar ke klinik, saya membelanjakan lebih RM1,500 untuk menguruskan lapan kucing,” katanya yang turut memiliki seekor kucing cacat tanpa cuping telinga.

Roshaliza yang berasal dari Rompin berkata, setiap kali pulang ke kampung dia membawa bersama semua kucing dengan menaiki pacuan empat roda milik suaminya dan pasir khas turut disediakan.

Katanya, hobi memelihara kucing menyebabkan dia dan suami aktif menyertai acara kucing cantik dan pertandingan fesyen kucing setiap tahun.

“Setiap kali mahu menyertai pertandingan, saya sanggup mengeluarkan modal untuk menempah pelbagai jenis pakaian berharga antara RM70 hingga RM150 sehelai.

“Saya bersyukur hobi memelihara kucing turut sama dikongsi dengan suami. Walaupun tidak mempunyai cahaya mata namun kami masih berpeluang mencurahkan kasih sayang kepada kucing yang memahami hubungan itu,”katanya.

Sementara itu Mohd Yadzil berkata, kesunyian rumah tangga tanpa cahaya mata terubat apabila melihat lapan kucing yang sentiasa manja dan mudah didekati dalam apa juga keadaan.

“Saya melayan kucing peliharaan seperti anak yang menyerikan rumah tangga kami, kasih sayang dicurahkan kepada haiwan manja itu tanpa mengira keadaan.

Beliau berkata, dia yakin ada hikmat memelihara haiwan terutama kucing jalanan yang terabai dari segi kebersihan dan kesihatan, tidak ada istilah membebankan sepanjang tiga memelihara lapan kucing.


0 comments:

share2