Polis akan melakukan pemantauan ke atas 15 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas di negeri ini pada PRU14.
Bagaimanapun kawasan terlibat tidak dinyatakan atas sebab boleh memberi gambaran negatif kepada penduduk.
Ketua Polis Pahang, Dato' Sri Rosli Ab Rahman berkata, pemantauan ke kawasan terbabit sudah dilakukan sehingga tarikh pembuangan undi kelak bagi mengekang sebarang tindakan daripada kumpulan tertentu yang mungkin cuba mencetus kekacauan.
Menurutnya, kesemua kawasan itu mengambil kira kemungkinan wujudnya persaingan sengit antara parti bertanding dan kawasan yang mempunyai pengundi pelbagai kaum.
“Bagaimanapun kita (Polis Pahang) sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan melalui siri latihan dan simulasi untuk berdepan sebarang situasi sekiranya berlaku.
“Kita kini dalam latihan fasa terakhir dan bermula semalam (kelmarin) Latihan Amal Ex Undi Per Pru 14 Siri 2, Fasa 2 2018 diadakan dengan 67 gambaran situasi yang berkemungkinan boleh berlaku,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas simulasi latihan amal itu di Kem Pasukan Gerakan Am, Galing di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalannya, Dato' Jamaludin Kudin, Komander Briged Tenggara, Dato' Roslan Bek Ahmad dan ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoiner Mohd Noor Yusof Ali.
Rosli berkata, siri latihan yang diadakan itu sebagai persediaan kepada anggota dan aset yang ada bagi menangani sebarang kemungkinan eksiden yang bakal berlaku.
“Ia juga bertujuan menguji tahap keberkesanan perancangan, tindak balas Prosedur Operasi Standard (SOP) dan keberkesanan rangkaian komunikasi pusat kawalan.
“Dengan adanya latihan seumpama ini, kita dapat kenal pasti dan perbaiki segala kelemahan supaya kita semua (agensi terlibat)benar-benar bersedia untuk berdepan suasana sebenar PRU14 nanti,”katanya.
Katanya, dalam memperkuatkan kekuatan keanggotaan pada PRU14, seramai 6, 269 anggota termasuk 588 pegawai akan dimobilasikan untuk tugasan itu diseluruh negeri.
“Pada masa sama, kita akan dibantu anggota tambahan melalui satu pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan dua unit Pasukan Pencegahan Rusuhan (Poru)serta 93 anggota dari Pasukan Sukarelawan Polis,” katanya.
Pada simulasi Latihan Amal Ex Undi Per Pru 14 Siri 2, Fasa 2 2018, seramai 310 anggota termasuk dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pasukan gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak hospital terlibat.
Persembahan simulasi itu berkisar rusuhan dicetuskan penyokong sebuah parti yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya sehingga mencetus ketegangan dan polis serta agensi terlibat bertindak menanganinya melalui SOP yang ditetapkan.
0 comments:
Post a Comment