Shah Alam - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Anina Saadudin sebak ketika ditanya mengenai perasaan dan sikapnya terhadap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Soalan itu diajukan selepas Anina dilihat lantang mengkritik Tun Mahathir selepas membuat haluan sendiri setelah meninggalkan Bersatu.
“Sebagai makhluk ALLAH SWT dan anak muda yang berbeza 50 tahun umur dengan Tun Mahathir di mana nak katakan ayah pun ya, datuk pun ya.
“Apabila saya masuk darjah satu, dialah perdana menteri saya. Bila saya dah boleh baca surat khabar, muka dia jugalah yang dilihat setiap hari.
“Tiba-tiba ditakdirkan pada tahun 2015 saya bekerjasama dengannya. Hari-hari saya bersamanya. Sudah pasti saya amat menyayanginya,” katanya dengan linangan air mata ketika menjawab soalan moderator.
Anina menjadi panel Live Facebook Sinar Harian, semalam dengan tajuk PRU14: Talam dua muka.
Tambahnya, nilai kasih sayang terhadap Tun Mahathir tidak boleh digadaikan dengan masa depan orang Melayu. Bukan sahaja pada hari ini, tetapi untuk anak cucu kita di masa depan negara.
“Sama juga bagaimana saya sayangkan anak saya. Saya tidak boleh katakan betul kalau dia lakukan benda yang salah sebab itu masa depan dia.” katanya.
Anina juga menegaskan, tidak akan berhenti untuk menyatakan kebenaran sekaligus mengajak orang Melayu untuk menolak Bersatu pada PRU14.
“Saya tidak akan berhenti untuk menyatakan kebenaran ini walaupun saya kena kecam atau dihina.” katanya.
0 comments:
Post a Comment