Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) berhasrat membina pintu gerbang serta tugu kekal di Pekan Sehari, Lurah Semantan bagi mengindahkan kawasan perniagaan peniaga kecil itu.
Yang Dipertuanya, Dato' Azlan Md Yaman berkata, MPT pada dasarnya menerima cadangan orang ramai itu untuk membangunkan binaan kekal itu dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat penuh MPT bersama ahli majlis hari ini," katanya ketika dihubungi, semalam.
"Saya cadangkan bina tugu kekal yang unik supaya boleh menjadi kenangan pengunjung untuk bergambar, selain pembinaan pintu gerbang di tapak ini,"katanya.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan cadangan pengunjung Pekan Sehari Lurah Semantan yang mahu pihak berkuasa tempatan membina papan tanda Pekan Sehari dan kemudahan atau binaan menarik serta memberi manfaat kepada penduduk atau pelancong.
Pengunjung Husin Md Nor, 45, berkata, ketiadaan papan tanda khas menunjukkan lokasi atau tapak Pekan Sehari Temerloh dengan tepat adalah antara kekurangan yang perlu ditambah baik.
Menurutnya, tidak ada langsung papan tanda apatah lagi pintu gerbang sedangkan Pekan Sehari ini dipercayai bermula sejak 1890 lagi oleh peniaga kampung yang menjual hasil kampung mereka setiap Ahad.
0 comments:
Post a Comment