
Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran berjaya menumpaskan aktiviti memindahkan 22 kayu balak secara haram bernilai lebih RM50,000 di kawasan Hutan Simpan Temelong, Maran, malam kelmarin.
Dalam operasi bermula 9 malam itu, seorang pemandu lori berusia 50-an berjaya ditahan bersama jengkaut, lori, kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara dan mesin memotong kayu bergergaji.
Pegawai PHD Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamaruddin berkata, jenis kayu yang cuba dibawa keluar menggunakan laluan tikus di Kampung Luit, Maran ialah keruing, kempas dan meranti seraya.
Menurutnya, ketika operasi, beberapa individu yang terbabit dengan kegiatan itu berjaya melarikan diri ke dalam hutan apabila menyedari kehadiran anggota unit penguatkuasa.
“Kita percaya sindiket itu didalangi mereka yang berpengalaman dalam melakukan aktiviti menebang dan memindahkan kayu balak selain memiliki peralatan yang lengkap bagi melakukan kegiatan itu.
“Sindiket ini melakukan aktiviti menebang pokok balak pada musim hujan dan memindahkannya pada musim panas,” katanya.
Ismail berkata, aktiviti memindahkan balak menggunakan lori akan dilakukan ketika musim panas dan kegiatan itu dilakukan pada waktu malam sambil mendapat bantuan tonto.
Katanya, kayu balak dan jentera yang dirampas kini ditempatkan di pusat penyimpanan barangan kes di Pejabat Hutan Ladang Kemasul.
“Kes kelmarin adalah yang pertama tahun ini dan anggota unit penguatkuasa daerah dan negeri akan meneruskan usaha menyekat kegiatan salah itu.
“Jabatan memandang serius kegiatan mencuri hasil hutan seperti balak kerana ia menyebabkan kerugian kepada kerajaan selain merosakan alam sekitar apabila aktiviti penebangan tidak mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Ismail juga berharap masyarakat setempat termasuk Orang Asli yang mengetahui terdapat berlaku kegiatan mencuri balak supaya segera berhubung dengan pejabat hutan daerah berhampiran.

0 comments:
Post a Comment