Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 12, 2018

[KUANTAN] PERSIDANGAN MEJA BULAT MAC DEPAN


 Persidangan meja bulat Mac depan



Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Pahang bakal mengadakan Persidangan Meja Bulat bertemakan 'Kuantan Peneraju Kecemerlangan' Mac depan.

Penasihatnya, Dato' Sri Abdul Hamid Nazahar berkata, dijangkakan 300 guru dan pentadbir sekolah dari seluruh daerah ini akan terlibat dengan persidangan itu nanti.

Menurutnya, ia dirancang bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan pencapaian cemerlang dalam kalangan murid dan pelajar di daerah ini. 

"Jadi dalam persidangan itu nanti, kita akan mengumpulkan seberapa ramai guru untuk mendapatkan idea dan cadangan mereka. Keadah ini adalah untuk memastikan murid dan pelajar di daerah ini mampu bersaing dalam aspek pembelajaran, kokurikulum dan sebagainya dengan murid serta pelajar dari daerah lain.

"Kalau boleh, kita di Kuantan menjadi peneraju kepada pencapaian cemerlang murid dan pelajar di negeri ini," katanya.

Beliau demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Ponggal anjuran bersama BN dan MyPPP di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis (SMKJ) Tanah Putih, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuantan, Dato' Zaiton Mat dan Ketua Wanita MCA Bahagian Kuantan, Tee Choon Ser.

Pada majlis itu, 100 masyarakat India menerima sumbangan barangan keperluan asas yang disampaikan oleh Abdul Hamid.

Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuantan berkata, Gagasan turut merancang menganjurkan kem motivasi membabitkan murid dan pelajar dari semua sekolah di negeri ini pada Oktober depan.

Katanya, kem motivasi itu dijangka disertai kira-kira 300 murid dan pelajar yang berpotensi memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran serta kokurikulum.

"Penganjuran kem ini juga adalah antara cara Gagasan untuk mendekati murid dan pelajar berpotensi agar mereka terus bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran atau kegiatan luar kelas.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dalam mengenal pasti murid dan pelajar yang mempunyai potensi. Pemilihan ini adalah terbuka kepada semua, tidak hanya kepada kaum tertentu sahaja," katanya.


0 comments:

share2