
Selepas menunggu hampir tiga tahun untuk mendapatkan geran tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Tebing Tinggi, penerima akhirnya menarik nafas selepas kerajaan negeri menyerahkan geran berkenaan dalam satu majlis di sini, kelmarin.
Bagi Sharifah Hasnah Syed Hussain, 65, dia memohon mendapatkan geran tanah itu sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, dia amat bersyukur dan kini merancang untuk membangunkan tanah berkenaan.
“Saya lega selepas masalah geran selesai dan saya dengan anak-anak akan berbincang perancangan seterusnya selepas ini.
“Terima kasih kepada kerajaan yang memahami keperluan rakyat yang memerlukan tanah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Geran RTK Tebing Tinggi, yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Perasaan sama turut diluahkan pesara kerajaan, Zainuddin Azahari, 64, yang menjadi salah seorang penerima geran berkenaan.
Dia yang mengidap strok hampir dua tahun lalu bersama isteri, Hasmah Mohd Nor, 57, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas pemberian geran terbabit.
Pada majlis itu, seramai 393 penerima menerima geran masing-masing membabitkan keluasan keseluruhan 27.44 hektar atau 712 lot.
Sementara itu, Mustaffar Kamal berkata, pihaknya akan terus mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima jika tawaran dibuka.
“Saya harap mereka tidak menjual tanah ini kerana mereka tidak lagi akan mendapat tanah yang lain selepas ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment