Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 20, 2018

[ROMPIN] WASPADA WANG KERTAS RM100 PALSU


Waspada wang kertas RM100 palsu



Ekoran kes wang kertas RM100 palsu yang menular di daerah ini, polis menyarankan orang awam terutama peniaga sentiasa berwaspada.

Sekiranya berhadapan dengan pelanggan yang membeli dalam nilai kecil tetapi membayar dengan RM100, wang kertas itu perlu diteliti keasliannya.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, ini kerana sasaran utama bukan barang yang dibeli tetapi baki wang yang dipulangkan peniaga.

"Perbuatan ini boleh menjejaskan ekonomi negara dan saya saran agar kedai menggunakan alat pengimbas wang mengelak menjadi mangsa.

"Peniaga pula sekiranya mendapati telah menerima wang palsu, jangan guna semula kerana tidak mahu rugi sebaliknya serah kepada bank berhampiran dan membuat laporan polis," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong sebagai persiapan meraikan pegawai dan anggota yang bertugas sewaktu banjir baru-baru ini.

Azli berkata, wang kertas palsu itu mula dikesan pada Mei tahun lalu dan sehingga Disember sebanyak 19 kes direkodkan termasuk satu kes wang kertas RM50.

Individu tidak bertanggungjawab itu menyasarkan peniaga kedai runcit atau pasaraya sekali gus merugikan kedua pihak ini.

Mereka tidak menyedari itu merupakan wang palsu ketika sedang sibuk menjalankan urusniaga hinggalah ia ditolak ketika berurusan di bank.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, sepanjang tempoh Mei hingga Disember tahun lalu sebanyak 19 laporan direkodkan.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 18 laporan melibatkan wang kertas RM100 manakala satu laporan sahaja melibatkan RM50.

Katanya, kesemua laporan kes dibuat pihak bank yang mengesan wang berkenaan ketika peniaga mahu memasukkan wang hasil perniagaan.

"Kesemua laporan yang diterima adalah kes di Muadzam Shah dan saya turut difahamkan ada kes di Kuala Rompin namun tiada laporan polis yang dibuat.

"Kita percaya kegiatan ini masih lagi aktif kerana dalam Januari tahun ini kita telah menerima satu laporan kes yang sama," katanya yang menolak ia perbuatan sindiket.

Menurut Azli, jika diteliti, ciri-ciri wang kertas palsu boleh dikesan kerana banyak kelainan berbanding wang asli.

"Kertas yang digunakan sangat berbeza kerana ia menggunakan kertas tidak berkualiti dan kasar.

"Ciri-ciri lain yang kita boleh kenalpasti seperti kertas menyerap warna, lebih gelap berbanding duit asli, bayang gabenor tiada serta saiz potongan tidak sama," katanya.

Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksima 10 tahun jika sabit kesalahan.


0 comments:

share2