Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 20, 2018

[KUANTAN] SKUAD MUDA JPJ SASAR 1 JUTA AHLI MENJELANG 2030


Skuad Muda JPJ sasar 1 juta ahli menjelang 2030


Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mensasarkan pertambahan sehingga 1 juta keahlian menjelang tahun 2030.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, dengan keahlian yang ramai gelombang skuad muda mampu dibentuk untuk mengajak rakyat seluruh negara mematuhi peraturan jalan raya.

Jelasnya, pembabitan skuad muda dijadikan sebagai platform yang boleh digunakan masyarakat untuk bersama-sama pihak berkuasa dalam usaha menangani dan mengurangkan kesalahan jalan raya di seluruh negara.

"Kita menjangkakan melalui penglibatan bilangan ahli skuad yang besar maka mereka dapat mendidik dan menyampaikan info berkaitan keselamatan kepada masyarakat sekeliling terutama keluarga terdekat...seorang ahli dapat menarik perhatian sekurangnya lima orang ahli keluarga maka impak dan kesannya akan lebih besar.

"Dengan itu, tanggungjawab dalam hal membabitkan keselamatan jalan raya dan tidak hanya diserahkan kepada agensi penguatkuasa semata-mata tetapi di kalangan masyarakat itu sendiri," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam satu sidang media sempena pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Jalinan Kasih Skuad Muda JPJ 2018, di Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota, di sini, semalam.

Program tersebut menghimpunkan kira-kira 350 orang ahli Skuad Muda termasuk dari Kelantan, Terengganu dan Pahang yang telah melakukan konvoi Jalinan kasih menggunakan motosikal berkuasa besar dan pelbagai jenis kenderaan pelbagai guna.

Dalam pada itu, menurutnya, skuad muda dan masyarakat harus memainkan peranan dan tanggungjawab sebegini sebagai salah satu penerapan kesedaran.

"Jika dilihat di negara maju seperti Jepun dan Korea yang sedang mengejar kemajuan...penguatkuasaan tidak banyak disebabkan tahap pendidikan rakyat mereka telah menyebabkan kesedaran itu datang.

"Orang ramai disaran mematuhi peraturan ditetapkan bukan disebabkan takut kepada penguatkuasaan yang ada tetapi kesedaran dalam diri hinggakan...bila lampu isyarat berwarna merah dia tetap berhenti tidak kira ada polis atau tidak yang penting adalah mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Sementara itu, katanya, pelbagai program dan aktiviti sampingan akan dilaksanakan dalam mengukuhkan kewibawaan dan meningkatkan jati diri Skuad Muda itu secara berperingkat.

"Kita tidak mahu mereka yang menyertai Skuad Muda ini sekadar menjadi ahli...perlu bergiat aktif sehingga mereka sendiri boleh membantu masyarakat lain bertanggungjawab dan sedar tentang keselamatan jalan raya.

"Dengan itu untuk menjaga keselamatan jalan raya penguatkuasa JPJ dan skuad muda saling berkait rapat...penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi jika tiada pendidikan mahupun kesedaran.

"Penglibatan mereka dengan agensi ini juga meluas melalui penglibatan dan peluang diberikan dalam membantu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa pada masa-masa tertentu," katanya.


0 comments:

share2