Terkejut dan teruja. Begitulah perasaan seorang wanita Orang Asli setelah menerima bantuan baik pulih rumahnya di Kampung Sungai Ruyung, di sini kelmarin.
Rasinam a/p Hussain, 46, berkata, dia terkejut apabila ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Sebatang dan kakitangan beberapa agensi kerajaan di sini hadir bergotong-royong membaik pulih kediamannya.
Menurutnya, keadaan kediamannya yang berusia lebih 20 tahun itu memang memerlukan penambahbaikan.
“Perasaan saya bercampur-baur, suka...teruja dan pada sama terharu sebab tak sangka kerajaan negeri sudi baik pulih rumah saya. Saya mana mampu nak upah orang baiki rumah ni...yalah, dari saya muda dulu memang hidup saya susah.
“Projek ni jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri, Pejabat Daerah Raub dan masyarakat Melayu Durian Sebatang terhadap kebajikan penduduk minoriti Orang Asli di sini,” katanya.
Program Baik Pulih Rumah Secara Gotong-Royong membabitkan peruntukan kerajaan negeri bernilai RM10,000 itu mampu memberi keselesaan kepada Rasinam.
Hadir sama Pegawai Kemajuan negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang, Dato' Zulkifli Yaacob; Pegawai Daerah Raub, Dato' Hamdan Hussin dan Ketua Kampung Durian Sebatang, Mohamed Fuad Shamsudin.
Sempena program ziarah Orang Asli itu juga, Zulkifli turut menyampaikan hamper makanan bernilai RM800 kepada Rasinam dan tujuh keluarga Orang Asli yang tidak berkemampuan di kampung berkenaan.
Sementara itu, Zulkifli berkata, program berkenaan cukup signifikan untuk membantu keluarga miskin termasuk ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berasaskan laporan yang diterima daripada Pejabat Daerah dan JKKK di semua tempat.
“Kita mengadakan siri turun padang di setiap daerah dan pedalaman penempatan Orang Asli bagi mengisi program touch point ini dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan selari dengan aplikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya.
Tambahnya, komitmen dan integriti kerajaan negeri, pemimpin setempat dan semua agensi kerajaan untuk memastikan kebajikan kumpulan sasar diberi keutamaan supaya hidup selesa berasaskan transformasi pembangunan sosial dan modal insan.
0 comments:
Post a Comment