Kelmarin menjadi hari malang buat seorang remaja perempuan selepas didakwa menjadi mangsa pukau seorang lelaki yang ingin menukar wang di restoran tersebut.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu ketika mangsa, Nur Aisyah Mohd Saharudin, 17, sedang bertugas di bahagian juruwang di Restoran Dapur Mama, Jalan Putra Square 3 di sini.
Ketika kejadian, mangsa yang baru bekerja di restoran terbabit kira-kira dua bulan lalu sedang melayan seorang lelaki berusia awal 40-an yang secara tiba-tiba ingin menukar wang.
“Sebelum tu, lelaki terbabit bayar harga air minuman mineral. Lepas bayar, tiba-tiba dia nak tukar wang RM100 bernilai RM1,000 ke not RM50.
“Saya pun tengok peti wang dan tukar. Kemudian pengurus datang tanya kenapa, dia beritahu nak tukar ke not RM5. Pengurus beritahu tak ada duit nak ditukar.
“Lelaki tu pun pulangkan balik duit tukaran tapi memang dia ada renung mata saya seketika sebelum pergi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari apa-apa sehingga pengiraan wang dilakukan dan mendapati tidak mencukupi sebanyak RM400.
“Bila dah sedar hilang, saya bersama pengurus buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 5.30 petang hari sama,” katanya yang turut mengakui kejadian itu memberikan trauma buat dirinya selain pengajaran untuk lebih berhati-hati.
Sementara itu, Pengurus Restoran, Syamin Esqandar Azizan, 27, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di restoran terbabit.
Menurutnya, pihaknya mendapat wajah lelaki itu di kamera litar tertutup (CCTV) dan selepas dimuatnaik di laman sosial, Facebook, pihaknya menerima maklumat kejadian yang didakwa dilakukan lelaki sama di beberapa premis di bandar ini.
“Kita menerima maklumat netizen yang mendakwa berdepan insiden sama dilakukan oleh lelaki terbabit.
“Kita berharap siasatan segera dapat diambil untuk mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment