Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 17, 2018

[KUANTAN] PELIHARA NILAI GELARAN 'DATUK' DENGAN JAGA TATASUSILA


Pelihara nilai gelaran 'Datuk' dengan jaga tatasusila


Individu yang dianugerahkan darjah kebesaran dari negeri ini dinasihatkan berkelakuan sopan dengan menjaga tatasusila dan kelakuan mereka.

Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan dan Kerabat Pahang (BKKP), Dato' Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, gelaran yang diberikan seharusnya dilindungi dan dijaga dengan baik, supaya tidak menjejaskan penganugerahan yang diberikan.

Jelasnya, apa sahaja berkaitan Institusi Diraja seharusnya dipelihara dengan baik kerana ia penuh peradaban dan tatasusila.

"Sesiapa sahaja yang ada hubungan rapat dengan istana meskipun bekerja perlu menunjukkan pekerti yang mulia dan berakhlak.

"Ini apatah lagi bila dianugerahkan darjah kebesaran seperti Datuk kerana segala tindak tanduk yang bertentangan akan menjejaskan nilai gelaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas hadir di Balai Polis Kuantan di sini untuk membuat laporan polis di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diajukan persoalan mengenai kebelakangan ini terdapat individu bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah kerana berkelakuan tidak sopan termasuk melakukan kekerasan atau jenayah.

Terbaharu, pengarah dan pelakon filem, Dato' Farid Kamil Zahari didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, selebihnya berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

Farid, 37, bagaimanapun tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Dalam pada itu, Wan Abdul Wahid berkata, selain bertatasusila seharusnya setiap penerima darjah kebesaran perlu sentiasa melakukan kerja-kerja amal agar sesuai dengan pangkat atau darjat yang dimiliki.

"Jaga watak sebagai Datuk agar sentiasa dihormati serta disegani," katanya.


0 comments:

share2