Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 17, 2018

[KUANTAN] LEGA MASALAH LONGKANG SELESAI


Lega masalah longkang selesai


Pasangan suami isteri kini mampu menarik nafas lega apabila masalah longkang runtuh yang berlaku awal Januari lalu sehingga meranapkan sebahagian tembok pagar rumah mereka di Lorong Alor Akar 72 di sini mendapat perhatian dan tindakan segera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Adnan Ibrahim, 53, dan isterinya Wan Samsiah Ramli, 53, yang kini bertugas sebagai guru di Kelantan tidak risau lagi terhadap kemungkinan struktur rumah mereka terjejas akibat kejadian memandangkan kerja-kerja pembaikkan longkang sepanjang kira-kira 70 meter itu sedang dilaksanakan.

Menurutnya, selepas dia datang ke Kuantan meninjau keadaan dan aduan dibuat pada 5 Januari lalu, pihak MPK mengambil tindakan segera menghantar kontraktor untuk melihat keadaan dan mengenalpasti bentuk tindakan bagi membaiki masalah longkang runtuh itu.

“Saya pun tak sangkalah, tindakan diambil begitu cepat. Ahad lalu saya terima gambar melalui WhatsApp menunjukkan dua lori treler membawa struktur longkang ke lokasi dan saya juga dimaklumkan kerja-kerja membaikinya sedang dijalankan.

“Allhamdulillah, kami suami isteri benar-benar lega dan tidak perlu bimbang lagi,” katanya.


Keadaan longkang yang runtuh awal Januari lalu hingga ranapkan pagar rumah.


Adnan berkata, walaupun kediaman itu kini ditinggalkan selepas dia dan isteri bertugas di Kelantan, rumah yang dibeli sejak tahun 2000 itu adalah hartanya dan banyak kenangannya terlakar di rumah itu sepanjang beliau bertugas di sini.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama Yang Dipertua MPK, Dato' Fadzilla Salleh atas tindakan segera ini dan difahamkan beliau sendiri ada turun padang ke lokasi melihat sendiri masalah yang berlaku.

“Pada masa sama saya berterima kasih kepada pihak MCA Kuantan terutama, Dato' Andrew Wong dan Misty Tee yang banyak membantu serta semua pihak yang terlibat,” katanya.

Dalam kejadian 3 Januari lalu keseluruhan struktur kongkrit longkang itu runtuh hingga meranapkan tembok pagar bahagian sisi rumah pasangan itu yang sudah dibina dua kali dengan anggaran kos lebih RM30,000.

Berikutan kejadian rumah itu tidak selamat untuk diduduki sekiranya tiada tindakan segera pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah berlaku.

Kejadian pertama berlaku pada 2016 dan selepas aduan dibuat kepada pihak berkenaan, tebing tersebut dibaiki namun runtuh kembali.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, selepas aduan diterima, pihaknya membuat penelitian dan masalah yang berlaku itu diberi perhatian serius kerana ia bukan sahaja melibatkan struktur awam tetapi menjejeskan dua rumah penduduk berhampiran.

Menurutnya, tindakan segera diambil dengan meluluskan peruntukkan RM150,000 bagi kerja-kerja pembaikkan struktur longkang berkenaan.

“Kerja-kerja dimulakan sejak Khamis lepas dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika dihubungi.


0 comments:

share2