Timbalan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Eric See-To mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang menulis buku berkenaan ‘skandal tukaran asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM160 bilion yang kononnya berlaku dari 2013 hingga 2016.
Menurutnya, tiada pihak lain, termasuklah Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, agensi pelaporan kredit antarabangsa, bank antarabangsa dan media asing, pernah memanggil kerugian RM160 bilion itu sebagai satu skandal.
“Barangkali, untuk mengelak kelihatan dungu, tiada pemimpin Pakatan Harapan seperti Kit Siang, Tony Pua atau Rafizi Ramli yang biasanya akan mengeluarkan pelbagai kenyataan, sekali pun bersuara terhadap dakwaan mengarut Dr Mahathir.
“Jika ‘kerugian’ itu benar, saya menggalakkan pemimpin tertinggi DAP untuk juga menulis buku tentang ‘skandal tukaran asing (forex) RM160 bilion oleh BNM’, seperti buku yang ditulis Kit Siang tentang skandal forex BNM sebanyak RM30 bilion beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun, saya tahu Kit Siang tidak akan tulis buku sebegitu mengenai skandal RM160 bilion ini kerana beliau pun tidak mahu sejarah menilainya sebagai lelaki gila yang akan memilih untuk membuat dakwaan terdesak dan tidak benar,” kata See-To dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa rizab BNM susut AS$39.6 bilion (RM161.6 bilion) antara 2013 dan 2015 dan merupakan jumlah yang lebih besar daripada jumlah susut BNM dalam urus niaga forex pada awal 90an.
Dakwaan bekas perdana menteri itu ditepis oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilaporkan berkata kerugian itu disebabkan oleh aliran keluar dana asing dan bukanlah disebabkan oleh urus niaga forex.
Namun, Dr Mahathir mendakwa bahawa aliran keluar sebegitu hanya boleh terjadi jika BNM menjual dolar AS daripada rizab negara, menyebabkan kerugian wang.
Menjawab persoalaan berkenaan See-To berkata BNM meraih keuntungan ringgit agak besar antara 2013 dan 2016.
“Ianya benar-benar mengarut untuk membandingkan pengurangan rizab asing hanya kerana BNM menjalankan tanggungjawanya secara jujur dengan perjudian haram yang membawa kepada kerugian sebenar dan kemudian disembunyikan.
“Ia nampaknya seperti cubaan terdesak untuk mengelakkan tanggungjawab atas dapatan hasil RCI baru-baru ini,” katanya.
Pada akhir Nov, laporan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing oleh BNM sekitar awal 90 an mengesyorkan polis melaksanakan siasatan atas kemungkinan kesalahan pecah amanah dilakukan Menteri Kewangan yang ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, pegawai BNM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara dan Dr Mahathir.
0 comments:
Post a Comment