Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang merekodkan 33 kes atas pelbagai kesalahan sepanjang program Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Mark Ujin berkata, 18 kes yang direkodkan pada perayaan tahun baru Cina lalu melibatkan tiada tanda harga merah jambu dan menjual melebihi harga maksimum.
"Pada skim kawalan harga bulan Ramadan pula kita kesan empat kes dengan kesalahan sama manakala pada perayaan Aidilfitri sebanyak 11 kes dikesan.
"Tiada kes dikesan pada Deepavali yang lalu," katanya kepada media selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga sempena Krismas peringkat Pahang, di Jaya Grocer, Kuantan City Mall, pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Penguatkuasa KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid dan Pengurus Pasar Raya Jaya Grocer, Tan Sze Yeung.
Mark berkata, kebanyakan peniaga memberi alasan tidak tahu dan tidak menyedari program skim kawalan harga yang dilaksanakan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya sudah mengedarkan 1,050 risalah senarai barangan kawalan musim perayaan tahun ini sebagai rujukan peniaga.
Dalam pada itu, sebanyak 628 kes daripada 7,002 pemeriksaan dalam Ops Catut dicatatkan sepanjang tahun ini.
Mark berkata, semua kes itu melibatkan harga barang, timbang dan sukat selain pengguna.
"Sebanyak 361 kes dikesan membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, 262 kes pula adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 manakala lima kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Dalam Ops Catut tahun ini juga, sebanyak RM105,900 kompaun dan 38 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan,"katanya.
0 comments:
Post a Comment