Kuala Lumpur – Dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kemerosotan nilai rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan langkah terdesaknya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal urus niaga mata wang asing (forex) 1990-an yang sedang hangat diperkatakan.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu yang mempersoalkan kemerosotan rizab BNM antara 2013 hingga 2015 juga adalah cubaan beliau mempertahankan dirinya yang terpalit dalam isu forex 1990-an dengan cara mencari kesalahan orang lain.
Katanya, kemerosotan rizab BNM yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir itu bukanlah berpunca akibat pelaburan luar biasa kerajaan atau tindakan seseorang cuba mengambil kesempatan dengan mempergunakan aset negara tetapi sebaliknya disebabkan ketidaktentuan ekonomi global yang menjejaskan pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.
“Beliau kini mungkin cuba mencari salah orang lain mengikut apa sahaja isu yang boleh dibangkitkan.
“Tetapi pada hari ini keadaan sangat berbeza kerana rakyat boleh mengetahui setiap transaksi yang dilakukan dan mengapa ia berlaku termasuk dalam soal rizab BNM ini, bukan seperti ketika beliau memerintah apabila kesemua perkara disekat daripada pengetahuan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani semalam yang menjelaskan dakwaan Dr. Mahathir kononnya BNM mengalami kerugian rizab antarabangsa sebanyak AS$39.6 bilion antara 2013-2015 adalah tidak benar.
Menteri itu berkata, penurunan rizab itu disebabkan aliran keluar dana asing daripada pasaran tempatan dan bukannya kerugian akibat urus niaga mata wang seperti yang berlaku pada awal 1990-an.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, situasi kemerosotan rizab itu bukan dialami oleh Malaysia sahaja malah oleh kesemua negara-negara berkembang pesat akibat perubahan dasar kewangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) selain kejatuhan harga minyak dunia.
Jelasnya, rizab antarabangsa BNM itu bagaimanapun kini telah melonjak pada kedudukan melebihi AS$100 bilion iaitu paras psikologi yang menggambarkan jumlah rizab itu pada tahap terbaik.
“Agak sukar untuk menyalahkan sesiapa terhadap pengurangan nilai rizab ini kerana ia berpunca akibat perubahan pasaran dunia semasa, melainkan berlakunya pelanggaran undang-undang atau salah tadbir urus,” katanya.
0 comments:
Post a Comment