Perkembangan teknologi maklumat (IT) di negara ini terus pesat dengan sistem-sistem perkakasan komputer berteknologi tinggi yang telah menjadikan rakyat Malaysia celik IT dalam kehidupan seharian.
Malah, perkembangan teknologi itu juga tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli menikmati kemudahan yang sama agar turut sama celik IT walaupun tinggal di kawasan pendalaman.
Menyedari hakikat itu, Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Gugusan Bentong yang prihatin terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli mengenai IT telah menganjurkan Program Literasi ICT dan Gotong-royong di kampung Orang Asli Kampung Lebak.
Program ini juga telah mendapat kerjasama Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB), Pertubuhan Penggerak Ummah Daerah Bentong, Maju Bentong, Komuniti Combi Batu 1 dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Lebak serta Angkatan Pertahanan Awam Daerah Bentong.
Pengarah program, Norsyafiqah Mohd Puzi berkata, program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan belia Orang Asli Kampung Sungai Lebak terutamanya kepada yang bersekolah menengah tahun depan.
“Pembelajaran komputer ini penting memandangkan pelajar sekolah sekarang perlu menggunakan komputer kerana di sekolah menengah mereka perlu melakukan kerja kursus menggunakan komputer.
“Kami berhasrat meningkatkan aktiviti khidmat masyarakat dalam bidang teknologi maklumat supaya Orang Asli di daerah ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya pada Program Literasi ICT dan Gotong-Royong di Orang Asli Kampung Lebak di sini, semalam.
Turut hadir dan merasmikan program Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad.
Dalam pada itu, Pengurus PI1M Taman Muhibbah berkata, PI1M telah menganjurkan kelas asas Microsoft Word yang dapat memberikan pengenalan Microsoft kepada mereka namun jika mereka berminat mereka masih boleh datang ke PI1M yang ada di Bentong.
“Kami berharap walaupun tiada internet dan kemudahan komputer, mereka tidak boleh berputus asa dan mencari peluang untuk belajar komputer. Di Bentong, kita mempunyai enam pusat PI1M dan kami sentiasa cari peluang untuk masuk ke kampung-kampung bagi beri pendidikan asas komputer secara percuma,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penggerak Ummah Daerah Bentong, Mohd Hanifah Ismail berkata, selain kelas asas komputer diberikan kepada belia orang Asli kampung Lebak, pihaknya serta agensi yang terlibat turut mengadakan pertandingan mewarna kanak-kanak dan gotong-royong bagi menceriakan suasana.
“Kita juga turut mengajar cara-cara membanteras aedes dan saya menasihatkan agar penduduk kampung sentiasa jaga kebersihan. Kita juga telah membawa komputer riba dan memberi peluang kepada mereka menggunakannya yang kita tidak mahu ada yang tertinggal dalam ICT dan dalam masa yang sama di harap ada pihak di luar sana dapat membantu masyarakat orang Asli khususnya di Bentong dan negeri ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment